8 March 2012

Suami, Isteri dan anak simpan heroin bernilai RM300,000

KUALA LUMPUR 7 Mac - Tiga beranak yang kononnya mengusahakan sebuah tapak semaian di Batu 9 Cheras, Jalan Hulu Langat dekat sini ditahan polis kerana menjadikan lokasi pekerjaan mereka itu sebagai stor menyimpan dadah jenis heroin, sejak beberapa bulan lalu.

Suspek terdiri daripada sepasang suami isteri berusia lingkungan 20-an dan ibu kepada suspek wanita yang berusia 41 tahun ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada pukul 3 petang kelmarin.

Ketika diserbu, polis menemui sejumlah 20 bungkus plastik lutsinar dadah jenis heroin gred C yang dianggarkan bernilai RM300,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, suspek menyembunyikan dadah berkenaan dalam bungkusan baja yang kemudian diletakkan di dalam beg.

"Siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek bekerja di tapak semaian itu dan menjadikan lokasi itu sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan.

"Setakat ini, kita percaya dadah berkenaan diproses di tempat lain sebelum dibawa untuk di simpan di tapak semaian itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Mohmad, pihaknya sedang menyiasat sejauh mana pembabitan tiga beranak ini dalam sindiket pengedaran dadah, namun polis percaya mereka merupakan pembekal dadah untuk pasaran Lembah Klang.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

0 comments:

Post a Comment