31 January 2012

Gosip Rosmah di tangan wartawan gay

Sebilangan orang meremehkan ruangan gosip di akhbar Australia yang mendedahkan babak awal percutian perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor.

Apatah lagi wartawan yang mengulas perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) itu seorang gay -- istilah yang dicemuh di negara ini.

Jika seseorang itu pro-kerajaan dan simpati pada Rosmah, dua fakta ini sudah cukup melucutkan kewibawaan maklumat yang disampaikan di harian Sydney Morning Herald minggu lepas.

Mungkin mereka sendiri sudah terlupa atau tidak menyedari bahawa dakwaan liwat Anwar Ibrahim sendiri bermula dari keratan kecil kolum gosip sebuah majalah hiburan popular pada 1997.

NONEPemimpin majalah itu pula, walaupun bawah payung kumpulan media yang akrab dengan Umno, seorang yang mempunyai orientasi seks tertentu (jika gay tidak sesuai).

Beberapa bulan sebelum buku50 Dalil muncul pada awal 1998, keratan kecil ini cukup menjadi bahan wartawan memburu berita dengan cuba mengesahkan dakwaan itu daripada mulut perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Lihatlah bagaimana keratan kecil gosip itu berkembang menjadi episod politik yang maha dahsyat dan kes mahkamah yang maha gempar kemudiannya.

Perbandingan ini tidaklah membawa maksud gosip lebih benar daripada buku; atau kes mahkamah Anwar kemudiannya lebih palsu daripada dakwaan Dr Mahathir.

Ia hanya menjelaskan satu unjuran peristiwa bahawa gosip di media -- walau dianggap remeh dan layak dipedulikan oleh orang yang rendah akalnya -- boleh mendatangkan malapetaka politik suatu hari nanti.

Setidak-tidaknya malapetaka kepada Anwar dan penyokongnya -- termasuk pemimpin kumpulan media yang menerbitkan keratan kecil gosip tersebut!

(ii)

Ruangan 'Private Sydney' kelolaan Andrew Hornery bukan sahaja membongkar beberapa babak awal tabiat berbelanja Rosmah, ia juga menceritakan ke mana pergi suaminya Najib Abdul Razak dan gelagatnya sewaktu bercuti di kota besar itu.

Dengan dukungan maklumat blog Frockwriter, yang menjadi sandaran Hornery, peminat politik dapat mengintai di sebalik tabir kehidupan santai pasangan pertama negara ini.

Episod ini belum dibahaskan media secukupnya.

Fokus utama setakat ini -- termasuk penjelasan pereka fesyen Carl Kapp -- malah mendedahkan lagi sisi-sisi Rosmah yang sedia dicurigai ramai.

darling hotel sydney australiaReaksi Najib terhadap Kapp dan pereka fesyen Itali kegemaran ahli parlimen Pekan sewaktu berbual dipenthouse semahal A$20,000 (RM65,100) semalam belum dibicarakan.

Media sendiri, termasukMalaysiakini, setakat ini gagal mengesahkan daripada tuan punya badan. Apakah wajar seorang perdana menteri mendapat kemudahan seperti itu dan berapa kerap perbelanjaan dikeluarkan untuk kemudahan seumpamanya?

Jika media gagal mendapatkannya sekarang, mungkin tiba giliran ahli-ahli Dewan Rakyat membangkitkannya dalam persidangan Mac depan.

Misalnya, Dewan Rakyat pernah didedahkan bahawa lawatan dua hari perdana menteri ke Kazakhstan Jun lalu bernilai RM1 juta.

Jumlah itu bagi menampung rombongan beliau menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam, dan pada waktu yang sama didakwa mengadakan lawatan peribadi untuk merisik bakal menantunya.

Hasil soalan ahli-ahli parlimen, kita diberitahu bahawa perdana menteri (termasuk Abdullah Ahmad Badawi) dan timbalannya (termasuk Najib) berserta pasangan masing-masing membelanjakan lebih RM17 juta dan RM8 juta dalam lawatan ke luar negara antara 2008 hingga Jun tahu lepas.

Parlimen juga pernah mendengar perbelanjaan sebanyak RM48 juta antara tahun 2006 hingga 2010 bagi penyelenggaran kediaman kedua-dua pemimpin atasan negara itu.

Tetapi jika nilai penthouse ini gagal dibangkitkan di Dewan Rakyat nanti, nampaknya hanya si isteri yang bakal menanggung cemuhan sedangkan sang suami yang memegang jawatan awam tertinggi ghaib daripada radar muhasabah rakyat.

Tidakkah ia berat sebelah dan ganjil?

(iii)

Rosmah, sebagai pendamping perdana menteri, sengaja mencari status selebriti.

Sebagai wanita pertama, status itu sepatutnya datang secara alami; bukan direkayasa melalui penampilan berlebihan di media arus perdana.

Namun Rosmah ingin menonjol sebagai ikon besar wanita; bukan sekadar selebriti biasa.

NONEKadang-kadang imej Rosmah jauh ke depan daripada ketua Wanita BN sendiri, jawatan kanan dalam kerajaan dan parti, sehingga Shahrizat Abdul Jalil kelihatan sekadar bayang-bayang isteri Najib.

Mujurlah muncul isu National Feedlot Corporation (NFC) dan keriuhan projek lembunya di Gemas -- dapatlah menteri berkenaan mencuri perhatian rakyat.

Di awal penonjolannya, Rosmah tidak menyedari ia telah meresahkan media apabila hampir setiap hari akhbar dan TV terpaksa memberitakan kegiatan, foto atau kenyataannya.

Remeh-temeh melayan karenah Rosmah dalam usahanya mendapatkan liputan di media sudah menjadi gosip tidak bertulis di kalangan barisan wartawan arus perdana sejak 2009, awal-awal Najib memegang tampuk kepemimpinan negara.

Penonjolan itu juga sekali gus membangkitkan rasa ingin tahu luar biasa pengguna media, yang juga pengundi dan rakyat negara ini.

Dan akibatnya -- seperti lumrah nasib semua manusia yang berkuasa, terkenal dan elitis -- ikon ini menjadi sasaran intipan dan umpatan ramai, termasuk ahli politik dan media.

Semakin besar penonjolannya, semakin ghairah pula rakyat bawahan ingin menyelak misteri kekuasaan, keelitan dan pengaruh Rosmah. Ibarat selebriti Barat dengan paparazzinya!

Jadi media, sebagai saluran popular komunikasi antara elit dan rakyat bawahan, tidak mempunyai banyak pilihan kecuali memburu dan terus memburu ikon besar itu.

Sehingga? Sehingga ia lenyap daripada radar awam dan ikon atau selebriti baru pula muncul.

'Keluarga Shahrizat diminta isytihar gaji jika tak bersalah'


DAP hari ini mencabar ahli-ahli keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya mengisytiharkan gaji sebenar bagi menangkis dakwaan bahawa mereka diberi pendapatan lumayan sebagai eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya menempelak keluarga ketua wanita Umno itu masih cuba berselindung berhubung bayaran yang diterima mereka dari syarikat projek penternakan lembu negara itu.

Menurut Lim, meskipun keluarga berkenaan menafikan dakwaan bahawa mereka dibayar gaji berjumlah RM215,000 sebulan, namun mereka belum membekalkan angka yang sebenar.

"Adalah ketara bahawa selepas diheret dengan kemelut ini untuk lebih tiga bulan, anggota keluarga Shahrizat, yang menerajui NFC gagal membersihkan diri mereka daripada pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan dana awam yang dilemparkan walaupun ada percubaan di pihak mereka untuk bertemu dengan penulis-penulis blog yang  'mesra' dan dengan badan-badan bukan kerajaan.
 
Sebagai contoh, kata Lim, setakat ini walaupun keluarga Shahrizat yang juga menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat itu menafikan mereka menerima RM215,000 sebulan, jumlah gaji sebenar mereka tidak didedahkan.

azlan
Sebelum ini dilaporkan suami Sharizat, Datuk Mohammad Salleh Ismail didakwa dibayar RM100,000 gaji bulanan sebagai pengerusi NFC.

Anak pasangan itu yang berusia 31 tahun, Izmir pula dikatakan mendapat RM45,000 sebulan sebagai pengarah eksekutif,. Seorang lagi anak lelaki mereka, Wan Shahinur Izran, 27 yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif mendapat RM35,000 sebulan manakala anak perempuan mereka yang berusia 25 tahun, Wan Izzanah Fatimah pula didakwa dibayar RM35,000 sebulan sebagai seorang lagi pengarah.

"Apakah alasan bagi Shahrizat dan keluarganya kerana gagal membersihkan nama mereka di mata rakyat?" soal Lim lagi dalam kenyataannya itu.

NFC terjebak dalam skandal apabila timbl pendedahan bahawa pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kerajaan untuk projek ternakan lembu negara itu telah dibelanjakan untuk membeli kondominium mewah dan perbelanjaan lain yang didakwa berbentuk peribadi.

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) juga mengakui bahawa terdapat "kelemahan" dalam projek itu.

MB Kedah sedia dipecat



Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sedia dipecat berikutan tindakan penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sehingga mencetuskan kontroversi dalam pakatan pembangkang

Azizan berkata, beliau tidak takut dan sesiapa yang mengkritiknya harus belajar undang-undang terlebih dahulu, lapor Berita Minggu.

Pemimpin PAS itu menjelaskan, AUKU masih terpakai di KUIN kerana institut pengajian tinggi itu tertakluk kepada peraturan Menteri Pengajian Tinggi, termasuk harus melaksanakan akta kontroversi itu.

Pada Mei lalu, lima mahasiswa KUIN digantung pengajian, antaranya kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan kepada umum dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Bagaimanapun tempoh penggantungan bagi empat daripadanya telah tamat.

Tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak, termasuk NGO, kumpulan pelajar dan daripada dalam Pakatan Rakyat sendiri apabila Azizan didakwa mengetepikan persetujuan bersama dalam Buku Jingga yang mahu menghapuskan akta itu.

Melayu mudah lupa atau Mahathir Mudah lupa?


Tun Drahathir Mohamad yang didakwa memutarbelitkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Israel-Palestin tetapi melupakan "hubungan akrabnya" dengan Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (bawah) berkata, Dr Mahathir mungkin kelihatan lantang menentang Zionis dan Barat tetapi dia didakwa mempunyai hubungan baik dengan mereka hingga menandatangani perjanjian ketenteraan dengan Amerika sebelum ini.

NONE"Nampaknya Dr Mahathir terus menyimpan dendam lamanya terhadap Anwar. Beliau dan pimpinan Umno nampaknya tidak dapat berhenti menghamburi fitnah semata-mata untuk mengalihkan dari satu demi satu skandal yang membelenggu mereka," katanya.

Nik Nazmi merujuk kepada Bilateral Training and Consultation Agreement (BITAC) yang membolehkan Amerika Syarikat menjalankan latihan ketenteraan di Malaysia pada tahun 1984.

Dr Mahathir semalam berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Anwar yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi, malah berkawan dengan anggota kongres Amerika Syarikat yang berbangsa Yahudi.
Dalam kenyataannya hari ini, Nik Nazmi berkata, Dr Mahathir juga membayar pelobi Zionis Jack Abramoff untuk mengatur pertemuannya dengan presiden Amerika Syarikat ketika itu George W Bush.

"Selepas itu, Bush menganggap Malaysia sebagai sekutu di dalam perang melawan keganasan.

"Dan Malaysia menggunakan alasan tersebut untuk menangkap sesiapa sahaja yang dikehendaki termasuk anggota pembangkang yang dituduh sebagai pengganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri," katanya.

Menyentuh kenyataan Anwar kepada akhbar antarabangsa Wall Street Journal, Nik Nazmi mempertahankan kenyataannya bosnya itu selari dengan penyelesaian dua negara yang diterima dunia Arab, Malaysia malah pejuang Palestin Hamas sendiri.

Wanita cedera ditembak


Samun
KOTA BHARU- Seorang wanita cedera parah selepas ditembak lelaki yang bersenjatakan pistol Revolver jenis .38 dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa, Che Asmah Che Awang, 50, mengalami cedera parah selepas terkena tembakan di perut kanan, kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, dan keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian itu, empat suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang melarikan sebuah kereta jenis Honda Jazz, barang kemas dan wang tunai bernilai RM5,000.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat lagi ahli keluarganya sedang tidur sebelum didatangi empat lelaki bertopeng.
Kejadian disedari anak mangsa Mohd Khairul Azani Mohd Lawi, 26, selepas terdengar bunyi tembakan serta pintu ditendang.
Jalaluddin berkata, sebaik Mohd Khairul keluar dari bilik, dia mendapati empat lelaki bertopeng di dalam rumah lalu mengheretnya keluar.
”Keempat-empat lelaki terbabit kemudian menggeledah di dalam bilik anak mangsa sebelum melarikan barangan berharga. Suspek melarikan empat telefon bimbit, tiga utas rantai leher, wang tunai RM5,000, tiga bentuk cincin dan sepasang subang serta sebuah kereta Honda Jazz milik anak mangsa,” katanya.
Mangsa yang mengalami cedera di perut kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) oleh suaminya Mohd Lawi Dollah, 53, sebaik penyamun terbabit melarikan diri.
Beliau berkata, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan mengesan kereta mangsa untuk siasatan lanjut. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan menggunakan senjata api.
Sementara itu, Mohd Lawi ketika ditemui di rumahnya berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi orang mengetuk pintu dan memberi salam.
“Saya kemudian bergegas membuka pintu dan terkejut apabila melihat tiga lelaki bertopeng menyerbu masuk dan seorang lagi menendang pintu belakang rumah. Saya kemudian diarah duduk dan salah seorang daripadanya mengacukan sepucuk pistol,” katanya.
Mohd Lawi berkata, beberapa minit kemudian dia diarah membuka suis lampu dan secara tiba-tiba, satu das tembakan dilepaskan ke arah isterinya.
Menurutnya, selepas empat lelaki terbabit melarikan diri, dia terus membawa isterinya yang cedera parah ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.


Pas: Kami bukan parti suka pecat orang


Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menolak pandangan media bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menjadi sasaran susulan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali awal bulan ini, berhubung tindakan penggantungan lima penuntut Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Sambil menegaskan isu melibatkan Azizan dan Hasan jauh berbeza, Salahuddin berkata, Pas juga bukan satu parti yang mengamalkan budaya suka memecat ahli dan pemimpinnya.

"Pas bukan (parti) suka pecat orang. Itu mainan politik media arus perdana kerajaan, yang melihat siri pemecatan dari Pas. Jadi, kita bukan budaya pecat orang, bukan menjadi amalan dan budaya suka pecat orang atau mengambil tindakan disiplin ke atas seseorang.

"Ia hanya dibuat pada waktu-waktu dan ketika yang cukup kritikal. Jadi saya rasa ini hanya mainan media untuk menggambarkan perkara-perkara negatif mengenai Pas," katanya dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online, semalam.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tidak timbul isu kononnya Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, akan dipecat sebagaimana kes Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor.

"Ia sama sekali isu yang berbeza. Apa yang disebutkan oleh Datuk Azizan adalah dari segi teknikal (berkenaan) pelaksanaan Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) di Kuin.

"Isu Hasan Ali melibatkan penentangan beliau terhadap parti dan dasar parti, dan menggunakan media musuh untuk menyerang parti. Jadi, saya rasa ia harus dibezakan.

"Datuk Azizan isu teknikal sahaja. Kita harus melihat dari perspektif yang berbeza, isu Datuk Hasan Ali," katanya lagi.

Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri, dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan sebuah akhbar mingguan kelmarin, yang antara lain mengatakan sebagaimana Hasan, bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din dan ramai lagi yang dilabel pro-BN, Azizan juga sudah terkena tempias.

Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari baru-baru ini meminta Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan atas alasan melanggar prinsip Buku Jingga dibawa perikatan itu.

Aziz mahu Azizan dikenakan tindakan tegas kerana pendirian Menteri Besar Kedah itu bertentangan dengan kesepakatan pembangkang untuk menghapuskan Auku yang juga termaktub dalam buku jingga mereka.

Selepas Hasan yang dikenakan tindakan sejurus PKR membuat desakan, apakah mungkin Azizan akan mengalami nasib sama, soal pandangan akhbar tempatan itu.

Bagaimanapun dalam kenyataan kepada Sinar Harian semalam, Azizan berkata, lima pelajar Kuin dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian mengikut peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya Auku seperti yang diuar-uarkan pihak luar.

Azizan berkata, oleh itu beliau menasihatkan pihak luar supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti tersebut kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan.

"Kedua-duanya berbeza, walaupun hampir sama. Saya harap selepas ini jangan lagi ada pihak yang pertikai keputusan yang dibuat,” kata beliau yang juga Pengerusi Kuin.


Presiden Pas: Memang molek MB jadi Exco Agama



SHAH ALAM - Keputusan Menteri Besar, Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memegang sendiri portfolio agama Islam di negeri itu memang satu keputusan "molek", kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, dengan kelebihan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang selalu berjumpa dengan Sultan, ia akan memudahkan lagi urusan agama di negeri itu.

"Kita kena tahu di Selangor agama di bawah bidang kuasa raja melalui majlis agama. Kita nampak Tan Sri Khalid ini orang paling rapat dengan Sultan, dia paling kerap jumpa Sultan, jadi moleklah orang paling acap jumpa sultan (pegang Exco agama)," katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

Abdul Hadi menambah, siapapun yang dilantik sebagai ketua tidak penting, namun yang lebih penting adalah siapa yang akan menjalankan tugas jawatankuasa itu.

Sebelum beberapa pihak tertentu khususnya Umno sebelum ini kononnya Pas dipinggir kerana tidak diberi portfolio agama kepada exco dari parti itu.

Isu tersebut timbul selepas Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco Selangor menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Bagaimanapun, portfolio hal ehwal Islam yang sebelum ini di bawah Hasan kemudiannya diletakkan dibawah menteri besar sendiri manakala Dr Yunus dilantik memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Melayu.

Peluang itu sekali gus digunakan Umno dengan mendakwa Pas hilang potfolio agama.

Abdul Hadi juga berkata, Pas masih berperanan besar apabila Menteri Besar melantik Adun Bangi Dr. Shafie Abu daripada Pas sebagai Pembantu Exco Agama.

"Cumanya kita lantik siapa bawah Tan Sri Khalid, ini yang penting. Setengah orang kita ni tak nampak (siapa) yang kena buat kerja, nak tengok siapa (ketua).

"Lagipun pilihan raya umum dekat dah," katanya sambil menyifatkan keputusan itu juga sebagai strategi pilihan raya.