KUALA SELANGOR – Keadaan Pantai Sungai Sembilang berhampiran Pantai Remis di sini bukan sahaja kotor dan tidak terurus malah turut diancam hakisan.
Tinjauan Kosmo! ekoran aduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima baru-baru ini mendapati hakisan teruk menyebabkan beberapa batang pokok di tepi pantai tumbang.
Kawasan itu seolah-olah tidak dijaga langsung kerana sampah-sarap bertaburan sehingga menyakitkan pandangan.
Seorang peniaga makanan ringan di kawasan itu yang dikenali sebagai Maniam, 36, berkata, beberapa kakitangan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pernah meninjau lokasi itu tahun lalu.
Namun, katanya, sehingga kini, tiada tindakan susulan dilakukan untuk mengatasi masalah hakisan pantai itu.
“Jika tidak diatasi, hakisan akan menyebabkan pantai tidak sesuai lagi untuk dikunjungi pada masa akan datang.
“Walaupun ia bukan lokasi pantai peranginan popular seperti Port Dickson, Negeri Sembilan namun bilangan pengunjung pada hujung minggu memang ramai,” katanya di sini semalam.
0 comments:
Post a Comment