KUALA LUMPUR 29 Jan. - Tindakan 26 pelacur warga asing yang cuba melarikan diri daripada dicekup polis tidak berjaya apabila mereka diberkas dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Pandan Perdana, Ampang, di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 2 pagi itu, kesemua pelacur itu enggan memberi kerjasama dan bersikap degil apabila tidak membuka pintu rumah,
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya terpaksa memecah pintu rumah teres tersebut selepas setengah jam menunggu menggunakan pemotong besi.
Beliau berkata, pihaknya percaya rumah itu digunakan sebagai transit untuk kegiatan pelacuran di sekitar Kuala Lumpur. Katanya, ada di antara pelacur itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah namun berjaya dihalang polis dan ada yang cuba bersembunyi di dalam rumah itu.
"Pemeriksaan mendapati, sebahagian besar pelacur rakyat Myanmar dan Thailand yang berusia antara 19 dan awal 20-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya ketika ditemui selepas mengetuai serbuan tersebut.
Sementara itu, Amiruddin berkata, dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Ampang, pihaknya menahan 30 pengunjung dan 11 wanita yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
Beliau berkata, siasatan mendapati, pusat hiburan itu menjual kalungan bunga dan kostum khas kepada pelanggan sebagai bayaran untuk mereka melanggan GRO kegemaran mereka.
Tambah Amiruddin, bunga itu dijual antara RM20 dan RM100 mengikut kuantiti bunga manakala kostum khas itu boleh mencecah RM500.
"Kesemua wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk menjalani ujian air kencing serta pengesahan dokumen," katanya.
0 comments:
Post a Comment