29 January 2012

Arab gantung misi pemerhati

DELEGASI pemerhati Liga Arab melawat seorang penduduk awam yang cedera dalam tunjuk perasaan menentang pentadbiran Bashar, di Damsyik, semalam. - Foto AP
DELEGASI pemerhati Liga Arab melawat seorang penduduk awam yang cedera dalam tunjuk perasaan menentang pentadbiran Bashar, di Damsyik, semalam. - Foto AP
 
DAMSYIK: Liga Arab menggantung misi pemerhati di Syria kelmarin, pada masa sama pertumpahan darah dalam tindakan bantahan antirejim yang tercetus dan jumlah kematian dalam tempoh empat hari meningkat kepada 212 orang sejak Selasa.

Pengumuman dibuat sebaik kumpulan pembangkang daripada Majlis Kebangsaan Syria (SNC) berkata, pemimpinnya akan ke New York untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuntut perlindungan daripada tindakan keras rejim Presiden Bashar Assad. 

Lawatan Ketua SNC, Burhan Ghaliun di tengah-tengah tawaran baru oleh negara Arab dan Eropah bagi tindakan PBB itu bagaimanapun ditentang Russia yang juga sekutu kuat rejim Bashar Assad. 

Ketua Liga Arab, Nabil al-Arabi, berkata keputusan menggantung misi pemerhati itu dibuat selepas siri rundingan Menteri Luar Arab berikutan peningkatan keganasan yang mangsanya adalah orang awam.

Beliau berkata, ia dibuat selepas Kerajaan Syria memilih melaksanakan keganasan lebih hebat yang meningkatkan jumlah mangsa.

Ketua misi pemerhati, Jeneral Mohammed Ahmed Mustafa al-Dabi, berkata pergolakan berlaku dengan lebih ketara sejak Selasa terutama di bandar besar seperti Homs dan Hama serta di wilayah utara, Idlib.

Di Moscow, Russia semalam mengecam keputusan menggantung misi pemerhati Liga Arab di Syria selepas pertumpahan darah terhadap penentang antikerajaan.

“Kami mahu tahu mengapa mereka melayan kumpulan penting seumpama ini,” kata Menteri Luar, Sergei Lavrov dalam lawatan ke Brunei, yang dipetik agensi berita Russian, ITAR-TASS.

“Saya menyokong jumlah pemerhati yang lebih ramai. Kami terkejut dengan keputusan diambil misi pemerhati untuk bulan lain, sesetengah negara, terutama negara Teluk Parsi memanggil pulang pemerhati dari misi,” kata Lavrov.

Laporan yang dikemukakan Pemerhati Hak Asasi Syria menyatakan seramai 212 orang, kebanyakannya orang awam terbunuh sejak Selasa.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang maut di negara itu sejak pemberontakan bermula pertengahan Mac tahun lalu, meningkat kepada 5,400 orang. – AFP

0 comments:

Post a Comment