29 January 2012

Langgar lari Polis kesan pemilik kereta kelabu metalik

MELAKA 29 Jan. - Polis sedang mengesan sebuah kenderaan berwarna kelabu metalik yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari sehingga meragut nyawa seorang wanita di Jalan Tun Teja, Cheng di sini awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, pencarian ini berdasarkan penemuan cermin sisi kiri sebuah kenderaan berwarna kelabu di tempat kejadian.

"Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan jenis kenderaan itu yang mungkin berwarna kelabu metalik berdasarkan warna cermin sisi itu," katanya.

Awal pagi semalam, Rosmariah Mohamad, 34, maut setelah cedera parah di kepala selepas tercampak kira-kira lima meter ke dalam longkang bersebelahan jalan setelah dilanggar oleh sebuah kenderaan.

Mangsa keluar dari rumah pada pukul 12.30 tengah malam untuk mencari dua anaknya yang tidak pulang-pulang selepas bermain futsal di sebuah gelanggang kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Mayat mangsa hanya ditemui pada pukul 8 pagi semalam selepas penduduk berhampiran menemui mayat seorang wanita dalam longkang itu.

Sehubungan itu, Muhammad Koey meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di talian 06-2481999.

Sementara itu, usaha untuk menemubual suami dan dua anaknya di rumah mereka di Rumah Pangsa Cheng Mutiara gagal kerana mereka tiada di rumah.

Menurut jirannya, keluarga itu tiada di rumah sejak petang semalam kerana berada di Kluang, Johor.

0 comments:

Post a Comment