ISHINOMAKI: Pengawal Pantai terus lalu di kawasan perairan teruk dilanda tsunami di Jepun membabitkan lokasi yang menyaksikan beratus-ratus malah beribu-ribu mangsa dihanyutkan laut.
Walaupun dilakukan setiap hari, Yoshifumi Suzuki berkata tidak seorang pun daripada mereka melihat sebarang mayat sejak mayat seorang lelaki ditemui terperangkap pada pukat ikan November lalu.
Tetapi mereka tidak pernah berputus asa. “Jika kami tidak melakukannya, tiada orang lain yang akan melakukannya,” kata Suzuki.
“Kami mahu teruskan pencarian hingga kami menemui mayat terakhir. Saya mahu mengembalikan mangsa kepada keluarga mereka bukan kerana ia adalah tugas rasmi saya tetapi kerana ia adalah tanggungjawab sebagai seorang manusia.
“Mereka (yang hilang) ini terus dalam fikiran keluarga yang tetap mahukan bukti bahawa mereka pernah tinggal di dunia ini. Saya rasa ia sukar bagi mereka untuk menerima realiti tanpa melihat mayat,” katanya.
Tsunami melanda Jepun pada Mac tahun lalu, meragut lebih 19,000 nyawa. Satu setiap enam mangsa berkenaan hilang.
Di pelabuhan Ishinomaki dan bandar berhampiran Onagawa, sebanyak 20 peratus daripada 4,700 mangsa masih secara rasmi disenaraikan sebagai hilang, walaupun tiada sesiapa percaya mereka akan ditemui hidup.
“Jika laut itu jernih, kita dapat mencari lebih ramai,” kata Suzuki kepada wartawan di kapal Shimakazee seberat 26 tan.
Salji turut mengganggu krew seramai lima orang ketika meredah kabus musim sejuk di permukaan laut selain menggunakan peralatan sonar bawah laut untuk mengesan kereta atau sisa tenggelam lain yang mungkin boleh memerangkap mayat.
Jika melihat sebarang kemungkinan mayat, mereka akan memanggil penyelam.
Pada masa sama, kadar penglihatan yang hanya kurang satu meter dan cuaca sejuk menyebabkan penyelam tidak boleh berada lama dalam air iaitu tidak lebih beberapa minit saja.
Kapten Shimakaze, Yoshiyuki Kikuchi masih mengingati tsunami dan banyak menghabiskan masa mencari mayat mangsa.
Apabila menerima amaran tsunami, Kikuchi akan berlayar ke laut untuk melindungi bot, kerana ombak lebih kecil di luar pesisir dan lebih mudah dipandu.
Beliau melihat dinding air yang besar dari arah kira-kira 10 kilometer dari luar pesisir.
“Ia amat besar yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Kemudian saya lihat ia datang memusnahkan rumah, tayar dan kargo, keadaan yang menakutkan.
Kikuchi hanya dapat pulang ke pelabuhan pada hari ketiga selepas bencana dan segera memulakan usaha mencari mayat.
Ia adalah satu tugas yang dilakukan beliau lebih 10 bulan sejak tragedi itu melanda dan amat menyukarkan.
“Kami melakukan yang terbaik tetapi ia semakin menjadi sukar,” kata Kikuchi.
Di daratan, penyiasat polis pula melalui Kesennuma, bandar yang dimusnahkan tsunami dan kebakaran, tetapi tiada mayat ditemui sejak Disember lalu.
Bagi ibu bapa kanak-kanak yang maut dalam sekolah rendah Okawa, ia tidak berakhir sehingga sekurang-kurangnya 74 lagi mayat ditemui.
“Kanak-kanak itu masih hilang. Kita di sini supaya mereka boleh pulang ke rumah secepat mungkin,” kata seorang lelaki yang tidak mahu memberi nama. – Agensi
0 comments:
Post a Comment