MESKIPUN dilabel pasukan lemah dan mendapat ulasan negatif media, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj menggesa anak buahnya agar tidak mengaku kalah sebelum turun ke gelanggang.
Skuad Piala Thomas negara yang dibarisi pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, bekas juara All England, Muhammad Hafiz Hashim dan beregu nombor enam dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan akhir, jika bersikap positif dan menerapkan semangat juang untuk negara.
Turut mengimbau pengalamannya mewakili Malaysia pada edisi 1976 kejohanan itu bersama lagenda badminton negara, Datuk Punch Gunalan, beliau berkata, ketika itu, skuad negara digelar Punch Babies oleh media berikutan semua anggotanya masih muda dan dilihat tidak berpeluang melepasi pusingan kelayakan.
“Namun, kita akhirnya berjaya ke pusingan akhir, malah mara ke final bertemu Indonesia. Walaupun kita kalah, tapi pasukan kita telah melakukan yang di luar jangkaan.
“Jadi, saya harap pasukan ini juga tidak akan mengalah dan berjuang hingga ke saat akhir untuk negara,” katanya.
Skuad Malaysia turut diwakili perseorangan, Liew Daren dan Mohd Arif Abdul Latiff dan beregu, Goh VShem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How-Teo Kok Siang akan memulakan latihan pusat Isnin ini di Bukit Kiara, disusuli latihan di Sabah dari 6 hingga 10 Februari.
Misi utama Selvaraj pada latihan pusat nanti adalah menanamkan semangat berpasukan dan semangat juang untuk negara dalam diri setiap pemain.
“Jika dalam kejohanan sebelum ini mereka bermain untuk diri sendiri, kini kita mahu membasuh otak mereka untuk negara dan membawa harapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Pusingan kelayakan di Macau pada 13 hingga 19 Februari merupakan ujian getir buat pasukan negara apabila mereka diramal berdepan empat pasukan terbaik berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu China, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia
Malaysia berada di kedudukan kelima. China yang telah pun layak secara merit ke pusingan akhir di Wuhan pada 20 hingga 27 Mei, turut mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan tanpa jaguh utamanya, Lin Dan.
0 comments:
Post a Comment