29 January 2012

Seorang anak dahla buat maksiat, lepastu pukul ibu pulak


KULIM - Seorang remaja perempuan 21 tahun yang tinggal bersama ibunya di sebuah taman perumahan di sini, sanggup menjadikan rumah mereka seperti rumah tumpangan dengan membawa rakan perempuannya berusia 23 tahun bersama teman lelaki masing-masing untuk menempiaskan nafsu.

Perlakuan sumbang dilakukan mereka diketahui penduduk setempat sebelum membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK).

Enam pegawai penguat kuasa PADK membuat membuat pemantauan dan mengepung rumah berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.

Pengadu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, seorang remaja perempuan yang ditahan sering memukul ibunya dan perbuatan itu mengakibatkan ibunya itu takut untuk membuat laporan polis atau PADK.

“Pasangan ini sudah lama melakukan perlakuan maksiat di rumah mereka dengan membawa balik teman lelaki masing-masing. Perkara ini berlaku sejak enam bulan lalu. Ibu suspek tidak berani menegur anak perempuannya, kerana takut dipukul dan diherdik sekiranya berbuat demikian,” katanya.

Ketika serbuan dibuat, PADK terpaksa menunggu kira-kira 10 minit sebelum pintu rumah dibuka. Setelah memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa PADK, tiga dari enam penguat kuasa terlibat meminta kebenaran masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan.

Jurucakap PADK berkata, ketika pemeriksaan dibuat, mereka menemui dua lelaki dan tiga perempuan termasuk ibu kepada seorang remaja terlibat.

Dari siasatan awal dijalankan mendapati, pasangan yang berada dalam rumah itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan dan akan disiasat di bawah seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Kedah 1988.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"PADK akan mengarahkan semua terlibat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada tarikh dan masa ditetapkan. Sekiranya ingkar, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap diri mereka,” katanya.

0 comments:

Post a Comment