31 January 2012

Dun Seputih: Kedua-dua pihak akur keputusan muktamad


Abu Hassan

ALOR SETAR - Kedua-dua pihak akan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan setelah Speaker Dun Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dibenar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai Adun Kota Siputeh tahun lalu.
Abdul Isa berkata, beliau berasa senang hati kerana dibenarkan untuk membuat rayuan.
"Ini bukan persoalan mengenai siapa yang menang tetapi soal perundangan kerana ia melibatkan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.
"Kita masih menunggu tarikhnya. Kita menyerahkan kepada mahkamah untuk memberikan keputusan yang adil," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, beliau akan menerima apa juga keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan kelak.
"Sama ada menang atau kalah, kes ini akan dijadikan rujukan sekiranya perkara sama berulang selepas ini," katanya.
Sementara itu, Abu Hassan ketika dihubungi berkata, beliau bersedia menerima apa juga keputusan yang diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan sama ada dilucutkan jawatan atau kekal sebagai Adun Kota Siputeh.
"Dari dulu sampai sekarang, saya sentiasa bersedia menerima apa juga keputusan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya," katanya.
Abu Hassan dalam kenyataannya sebelum ini berkata, walaupun dalam tempoh digantung jawatan (sehingga diputuskan kekal sebagai Adun oleh Mahkamah Rayuan, tahun lalu), beliau tetap menjalankan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa.
Kelmarin, lima anggota panel Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, memutuskan memberi kebenaran kepada Dr Abdul Isa mengemukakan rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan kedudukan Abu Hassan sebagai Adun Kota Siputeh.
Pada 16 November 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi Dun Kota Siputeh kosong atas alasan Abu Hassan gagal menghadiri dua mesyuarat Dun pada 2009.
Bagaimanapun, pada 18 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan Abu Hassan diumumkan kekal menyandang jawatan Adun Kota Siputeh.


0 comments:

Post a Comment