SOSOK tubuhnya kelihatan tegap dengan kulit tebal yang berwarna keperangan. Itulah antara ciri fizikal makhluk yang sedang leka menikmati makanan tanpa menghiraukan kehadiran orang ramai di kediaman hijau tersebut. Satu persatu makanan yang dihulur kepadanya dinikmati penuh asyik.
Sesekali, orang ramai dapat melihat renungan tajam matanya dan mendengar dengusannya yang kuat - bagaikan sudah siap siaga menyerang musuh yang mengancamnya.
Bagaimanapun, mamalia tersebut hanya mahukan makanan untuk mengisi perutnya yang kelaparan.
Sambil ditepuk dan dibelai di bahagian perut, badak sumbu Sumatera yang semakin dihimpit kepupusan itu menurunkan badan dengan perlahan-lahan sekali gus menyerlahkan lagi sisi manja mamalia herbivor jantan seberat 708 kilogram (kg) tersebut.
Kertam, ataupun panggilan manjanya Tam, merupakan salah seekor daripada tiga penghuni tetap di Santuari Badak Sumbu Borneo, Perlindungan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, Sabah.
Penghuni pertama santuari itu telah diselamatkan pada Ogos 2008 selepas didapati berkeliaran di ladang kelapa sawit berdekatan Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin dengan kecederaan di bahagian badan dan kakinya.
Selain daripada Tam, terdapat dua ekor badak sumbu Sumatera betina yang mendapat perlindungan di santuari tersebut iaitu Puntung dan Gelogob.
Badak sumbu Sumatera ataupun dikenali sebagai badak sumbu Asia bertanduk dua dikategorikan antara spesies haiwan paling terancam di dunia.
Justeru itu, Santuari Badak Sumbu Borneo tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan Sabah dalam menjalin kerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta bagi memastikan kelangsungan hidup badak sumbu Sumatera dapat dipulihara untuk generasi masa hadapan.
Antara yang terlibat secara langsung dalam program pemuliharaan badak sumbu Sumatera di santuari itu ialah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Borneo Rhino Alliance (Bora), Yayasan Sime Darby, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan banyak lagi organisasi lain.
Tidak subur
Pengarah Eksekutif Bora, Datuk Dr. Junaidi Payne, berkata, terdapat kira-kira 150 ekor mamalia berkenaan di Sumatera, Indonesia manakala kurang daripada 40 terdapat di Borneo.
"Jumlah tersebut amat kecil bagi mamalia terkecil dari spesies badak sumbu itu.
"Berbanding dahulu, badak Sumatera diburu kerana sumbunya tetapi kini, masalah utama dihadapi spesies ini adalah ia tidak membiak lagi," katanya.
Hal itu disebabkan oleh kekurangan jumlah badak Sumatera betina yang subur, sudah lanjut usia dan tabiatnya yang sering berkeliaran bersendirian.
Katanya, dianggarkan terdapat hanya kira-kira lima atau enam ekor badak sumbu betina yang subur di Borneo untuk proses pembiakan.
Penemuan Puntung merupakan satu keajaiban kerana ia memberi harapan baharu terhadap survival badak sumbu Sumatera. Walaupun badak betina berusia 12 tahun itu mengalami kecacatan kaki kiri yang berkemungkinan disebabkan jerangkap samar, ia dilihat berpotensi disatukan bersama Tam.
Pemantauan telah dilakukan sejak tahun 2007 terhadap Puntung untuk mengetahui sama ada ia mempunyai teman hidup.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun mendapati ia bersendirian, barulah ia ditangkap untuk dibawa ke santuari berkenaan dengan menaiki helikopter.
Pengurus Lapangan Bora yang bertindak sebagai veterinar, Dr. Zainal Zahari Zainuddin, berkata, pemantauan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum menyatukan Puntung bersama Tam.
"Penggunaan teknologi terkini seperti gelombang ultra bunyi dan ujian darah dilakukan untuk memastikan tahap kesuburan.
"Penyatuan kedua-dua mamalia ini juga tidak boleh dibuat tergesa-gesa kerana masing-masing boleh menunjukkan tindakan agresif ataupun menjauhkan diri antara satu sama lain," jelasnya.
Buat masa ini, Zainal berkata, Puntung menunjukkan reaksi positif dalam jagaan di santuari tersebut.
Badak sumbu Sumatera betina mencecah kematangan untuk mengawan di antara usia enam hingga tujuh tahun manakala badak sumbu jantan pula adalah pada usia 10 tahun.
Gestasi (tempoh bunting) mamalia itu mengambil masa kira-kira 15 hingga 16 bulan dan ia melahirkan anak setiap tiga tahun sekali.
Sementara itu, Gelogob telah dibawa ke santuari berkenaan dari Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kota Kinabalu pada tahun 2010. Ia sudah berusia 30 tahun dan tidak boleh membiak lagi. Ia turut mengalami kecacatan penglihatan.
Secara purata, jangka hayat mamalia tersebut yang merupakan spesies terkecil badak sumbu boleh mencecah 35 hingga 40 tahun.
Ia boleh membesar sehingga 1.5 meter tinggi dan tiga meter lebar serta mencapai berat 950 kilogram apabila meningkat dewasa.
Empat lagi spesies yang masih kekal di dunia ialah badak sumbu putih (Ceratotherium simum), badak sumbu hitam (Diceros bicornis), badak sumbu Jawa (Rhinoceros sondaicus) dan spesies yang bersumbu tunggal, Rhinoceros unicornis.
Presiden Persekutuan Zoo dan Akuarium Antarabangsa, Dr. Jorg Junhold, menjelaskan, pihaknya sentiasa bersedia memberi sokongan dalam pemuliharaan dan pembiakan hidupan luar.
"Selain menyokong kelangsungan hidup badak sumbu, ia dapat mendidik orang ramai mengenai haiwan berkenaan terutamanya apabila mereka mengunjungi zoo," katanya yang juga Pengarah Zoo Leipzig, Jerman.
Komitmen
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Yatela Zainal Abidin, berkata, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan dalam program Santuari Badak Sumbu Borneo tersebut.
"Komitmen selama tiga tahun yang bermula sejak tahun 2009 dilakukan untuk membiayai pembinaan pagar sekitar kawasan perlindungan dan kemudahan menempatkan badak sumbu berkenaan.
"Ia dilakukan bagi memastikan badak sumbu Sumatera yang berada di kawasan perlindungan dapat merasai suasana seperti habitat semula jadinya," katanya.
Yatela menambah, badak sumbu yang berada di dalam kawasan perlindungan tersebut turut diselia pakar yang berpengalaman luas.
Beliau yakin program pemuliharaan badak sumbu berkenaan mampu menyelamatkan lebih banyak badak sumbu Sumatera.
Selain daripada memberi faedah kepada badak sumbu Sumatera, beliau menambah, ia juga dapat melindungi dan memulihara pelbagai flora serta fauna yang terdapat di Perlindungan Hidupan Liar Tabin.
Yayasan Sime Darby turut komited dalam memastikan haiwan terancam di Malaysia dapat dipulihara melalui Program Big9.
Haiwan-haiwan tersebut ialah orang utan (Pongo Borneo), gajah (Elephas maximus), monyet proboscis (Nasalis larvatus), harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni), beruang matahari (Helarctos malaynus), burung enggang (Bucerotidae), harimau bintang (Neofelis diardi) dan seladang banteng (Bos javanicus).
"Saya berharap dengan sumbangan yang dilakukan Yayasan Sime Darby dalam program pemuliharaan badak sumbu Sumatera akan membuahkan hasil sekali gus memberi harapan hidup kepada spesies berkenaan.
"Jika tidak dilakukan, kita khuatir ia akan pupus dalam beberapa dekad lagi," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment