20 January 2012

Mahkamah tolak rayuan pelajar bunuh jiran

Mahkamah tolak rayuan pelajar bunuh jiran
PUTRAJAYA - Seorang bekas pelajar sekolah kekal ditahan di bawah ihsan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap kesalahan membunuh seorang penyambut tetamu, sembilan tahun lalu.

Lelaki itu kini berusia 25 tahun dan melakukan kesalahan itu, ketika berumur 16 tahun.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria mempengerusikan lima anggota panel mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah melakukan pembunuhan dengan memutuskan tidak terdapat merit bagi menimbang rayuan itu.
Hakim lain sebagai anggota panel terdiri Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar serta Datuk Hasan Lah.

Pemuda itu disabit kerana membunuh jirannya, Khadijah Abu Bakar, 22, di flat Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang, antara jam 1 dan 3.35 pagi Mac 23, 2002.

Pada 1 Disember 2006, pemuda itu dibebaskan tanpa dipanggil membela diri di akhir pendakwaan kes.
Pihak pendakwa merayu kepada mahkamah rayuan yang pada 3 Ogos 2008 mengetepikan pembebasannya dan memerintahkannya membela diri di atas pertuduhan membunuh.

Pada akhir kes pembelaan, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Disember 2008 dan diperintahkan ditahan di bawah ihsan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Dia membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal di Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya pada 9 Mei tahun lalu.

Menurut kes pendakwaan, pemuda itu membunuh Khadijah kerana didakwa mengintainya.

Khadijah dijumpai mati berlumuran darah di bilik tetamu rumahnya. Pakar bedah mengesahkan dia mati kerana kehilangan darah akibat luka ditetak 139 kali.

0 comments:

Post a Comment