KUALA KEDAH - Seorang nelayan maut manakala 19 lagi terselamat setelah bot yang dinaiki karam akibat dipukul gelombang di kawasan berhampiran Pulau Songsong, kira-kira 20 batu nautika dari Kuala Kedah, awal pagi ini.
Kesemua mangsa yang terselamat dipercayai terapung kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan sekumpulan nelayan yang melalui kawasan kejadian.
Bagaimanapun, seorang awak-awak bot, Ahmad Radzi Ghazali, 58, maut setelah terperangkap dalam bot.
Tekong bot, Mohd Ismail Hashim, 55, ketika ditemui Sinar Harian, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dia dan awak-awak bot dalam perjalanan pulang ke Kuala Kedah selepas turun ke laut kira-kira jam 2 petang semalam.
Menurutnya, mereka baru sahaja selesai menangkap ikan dan bergerak pulang dengan membawa hasil tangkapan yang dianggarkan seberat tujuh metrik tan.
"Bagaimanapun, bot pukat jerut yang dinaiki dipukul gelombang besar menyebabkannya dimasuki air. Namun, saya sempat memaklumkan kepada rakan-rakan yang berada di dalam bot lain mengenai situasi yang dialami.
"Dalam keadaan cemas, saya sempat mengarahkan awak-awak bot untuk berkumpul di bahagian hadapan. Ada antara mereka yang sempat mengenakan jaket keselamatan sebelum bot karam," katanya.
Mohd Ismail berkata, ia adalah kejadian pertama dialaminya dan tidak menyangka peristiwa itu akan menyebabkan salah seorang rakannya terkorban.
0 comments:
Post a Comment