31 January 2012

Gosip Rosmah di tangan wartawan gay

Sebilangan orang meremehkan ruangan gosip di akhbar Australia yang mendedahkan babak awal percutian perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor.

Apatah lagi wartawan yang mengulas perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) itu seorang gay -- istilah yang dicemuh di negara ini.

Jika seseorang itu pro-kerajaan dan simpati pada Rosmah, dua fakta ini sudah cukup melucutkan kewibawaan maklumat yang disampaikan di harian Sydney Morning Herald minggu lepas.

Mungkin mereka sendiri sudah terlupa atau tidak menyedari bahawa dakwaan liwat Anwar Ibrahim sendiri bermula dari keratan kecil kolum gosip sebuah majalah hiburan popular pada 1997.

NONEPemimpin majalah itu pula, walaupun bawah payung kumpulan media yang akrab dengan Umno, seorang yang mempunyai orientasi seks tertentu (jika gay tidak sesuai).

Beberapa bulan sebelum buku50 Dalil muncul pada awal 1998, keratan kecil ini cukup menjadi bahan wartawan memburu berita dengan cuba mengesahkan dakwaan itu daripada mulut perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Lihatlah bagaimana keratan kecil gosip itu berkembang menjadi episod politik yang maha dahsyat dan kes mahkamah yang maha gempar kemudiannya.

Perbandingan ini tidaklah membawa maksud gosip lebih benar daripada buku; atau kes mahkamah Anwar kemudiannya lebih palsu daripada dakwaan Dr Mahathir.

Ia hanya menjelaskan satu unjuran peristiwa bahawa gosip di media -- walau dianggap remeh dan layak dipedulikan oleh orang yang rendah akalnya -- boleh mendatangkan malapetaka politik suatu hari nanti.

Setidak-tidaknya malapetaka kepada Anwar dan penyokongnya -- termasuk pemimpin kumpulan media yang menerbitkan keratan kecil gosip tersebut!

(ii)

Ruangan 'Private Sydney' kelolaan Andrew Hornery bukan sahaja membongkar beberapa babak awal tabiat berbelanja Rosmah, ia juga menceritakan ke mana pergi suaminya Najib Abdul Razak dan gelagatnya sewaktu bercuti di kota besar itu.

Dengan dukungan maklumat blog Frockwriter, yang menjadi sandaran Hornery, peminat politik dapat mengintai di sebalik tabir kehidupan santai pasangan pertama negara ini.

Episod ini belum dibahaskan media secukupnya.

Fokus utama setakat ini -- termasuk penjelasan pereka fesyen Carl Kapp -- malah mendedahkan lagi sisi-sisi Rosmah yang sedia dicurigai ramai.

darling hotel sydney australiaReaksi Najib terhadap Kapp dan pereka fesyen Itali kegemaran ahli parlimen Pekan sewaktu berbual dipenthouse semahal A$20,000 (RM65,100) semalam belum dibicarakan.

Media sendiri, termasukMalaysiakini, setakat ini gagal mengesahkan daripada tuan punya badan. Apakah wajar seorang perdana menteri mendapat kemudahan seperti itu dan berapa kerap perbelanjaan dikeluarkan untuk kemudahan seumpamanya?

Jika media gagal mendapatkannya sekarang, mungkin tiba giliran ahli-ahli Dewan Rakyat membangkitkannya dalam persidangan Mac depan.

Misalnya, Dewan Rakyat pernah didedahkan bahawa lawatan dua hari perdana menteri ke Kazakhstan Jun lalu bernilai RM1 juta.

Jumlah itu bagi menampung rombongan beliau menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam, dan pada waktu yang sama didakwa mengadakan lawatan peribadi untuk merisik bakal menantunya.

Hasil soalan ahli-ahli parlimen, kita diberitahu bahawa perdana menteri (termasuk Abdullah Ahmad Badawi) dan timbalannya (termasuk Najib) berserta pasangan masing-masing membelanjakan lebih RM17 juta dan RM8 juta dalam lawatan ke luar negara antara 2008 hingga Jun tahu lepas.

Parlimen juga pernah mendengar perbelanjaan sebanyak RM48 juta antara tahun 2006 hingga 2010 bagi penyelenggaran kediaman kedua-dua pemimpin atasan negara itu.

Tetapi jika nilai penthouse ini gagal dibangkitkan di Dewan Rakyat nanti, nampaknya hanya si isteri yang bakal menanggung cemuhan sedangkan sang suami yang memegang jawatan awam tertinggi ghaib daripada radar muhasabah rakyat.

Tidakkah ia berat sebelah dan ganjil?

(iii)

Rosmah, sebagai pendamping perdana menteri, sengaja mencari status selebriti.

Sebagai wanita pertama, status itu sepatutnya datang secara alami; bukan direkayasa melalui penampilan berlebihan di media arus perdana.

Namun Rosmah ingin menonjol sebagai ikon besar wanita; bukan sekadar selebriti biasa.

NONEKadang-kadang imej Rosmah jauh ke depan daripada ketua Wanita BN sendiri, jawatan kanan dalam kerajaan dan parti, sehingga Shahrizat Abdul Jalil kelihatan sekadar bayang-bayang isteri Najib.

Mujurlah muncul isu National Feedlot Corporation (NFC) dan keriuhan projek lembunya di Gemas -- dapatlah menteri berkenaan mencuri perhatian rakyat.

Di awal penonjolannya, Rosmah tidak menyedari ia telah meresahkan media apabila hampir setiap hari akhbar dan TV terpaksa memberitakan kegiatan, foto atau kenyataannya.

Remeh-temeh melayan karenah Rosmah dalam usahanya mendapatkan liputan di media sudah menjadi gosip tidak bertulis di kalangan barisan wartawan arus perdana sejak 2009, awal-awal Najib memegang tampuk kepemimpinan negara.

Penonjolan itu juga sekali gus membangkitkan rasa ingin tahu luar biasa pengguna media, yang juga pengundi dan rakyat negara ini.

Dan akibatnya -- seperti lumrah nasib semua manusia yang berkuasa, terkenal dan elitis -- ikon ini menjadi sasaran intipan dan umpatan ramai, termasuk ahli politik dan media.

Semakin besar penonjolannya, semakin ghairah pula rakyat bawahan ingin menyelak misteri kekuasaan, keelitan dan pengaruh Rosmah. Ibarat selebriti Barat dengan paparazzinya!

Jadi media, sebagai saluran popular komunikasi antara elit dan rakyat bawahan, tidak mempunyai banyak pilihan kecuali memburu dan terus memburu ikon besar itu.

Sehingga? Sehingga ia lenyap daripada radar awam dan ikon atau selebriti baru pula muncul.

0 comments:

Post a Comment