29 January 2012

Bina hotel 6 hari?


BANGUNAN Hotel Ark sebelum dan selepas berjaya disiapkan tahun lepas dalam tempoh enam hari.


KEPESATAN ekonomi China telah membolehkan negara itu berkembang sebagai antara negara paling pesat membangun dalam tempoh 20 tahun. Lebih membanggakan negara itu kini berada di kedudukan kedua sebagai kuasa ekonomi dunia di belakang Amerika Syarikat (AS).

Kepesatan ekonomi negara itu menyumbang ke arah pembangunan yang lebih ketara dan kita sendiri melihat hampir kesemua bandar utamanya sudah dipenuhi bangunan pencakar langit.

Kini negara itu boleh berbangga sebagai sebuah negara pembina terpantas di dunia apabila berjaya membina bangunan dalam tempoh yang singkat.

Pada 2010, mereka berjaya membina sebuah hotel setinggi 15 tingkat di selatan China yang disiapkan hanya dalam tempoh enam hari.

Struktur asas Hotel Ark berjaya disiapkan dalam masa dua hari manakala dalam tempoh tidak sampai empat hari atau lebih tepat 90 jam lagi, kerja-kerja luaran seperti dinding tingkap siap dipasang.

Bangunan ini yang terletak di Wilayah Hunan, turut menggunakan bahan-bahan pembinaan yang enam kali lebih sedikit daripada bangunan biasa.

Para pekerja membina Hotel Ark yang lengkap dengan struktur kalis bunyi, insulasi haba dan mampu bertahan jika berlaku gempa bumi berukuran 9 Skala Richter, dengan menggunakan kaedah pasang siap secara sepenuhnya.
Menariknya walaupun kerja-kerja pembinaan dijalankan begitu pantas, tiada seorang pekerja yang cedera dan tidak banyak sisa binaan dibuang.

Terbaru

Pada minggu lepas, sekali lagi negara itu berjaya membuktikan keunggulan dalam bidang pembinaan apabila berjaya menyiapkan bangunan baru Hotel Ark.

Hotel setinggi 30 tingkat dan berukuran 183,000 kaki persegi itu berjaya dibina dalam masa 15 hari atau 360 jam.
Bangunan itu sekali lagi berjaya dibina tanpa melibatkan kecederaan pekerjanya serta mampu menahan gempa bumi sehingga 9 Skala Richter.

Hotel Ark terbaru ini dibina berhampiran Tasik Dongting, juga dalam wilayah Hunan oleh Broad Group, sebuah syarikat pembinaan Cina yang pakar dalam seni bina lestari.

Kedua-dua bangunan hotel ini menggunakan teknik bahan-bahan yang dipasang siap mengikut seksyen di kilang sebelum dicantumkan menjadi bangunan di tapak pembinaan.

Untuk menyiapkan struktur bangunan utama, ia juga mengambil masa tidak sampai 46 jam dan tempoh 90 jam lagi digunakan untuk menyiapkan bahagian luaran. Keseluruhan bangunan siap dalam tempoh 15 hari.
Struktur bangunan itu juga kalis bunyi dan mampu menebat arus udara panas, selain mempunyai pemantau kualiti udara di setiap bilik hotel.

Satu lagi perkara menarik, kerja-kerja pembinaannya tidaklah berlanjutan tanpa henti dalam tempoh 15 hari. Malah para pekerja pulang sebaik sahaja waktu kerja mereka tamat pada pukul 10 malam.
Pencapaian China itu menimbulkan kerunsingan dalam kalangan pakar ekonomi Amerika Syarikat tentang kemajuan negara itu dari sudut pembinaan.

Apatah lagi, China kini berbangga sebagai kuasa baru dunia, kuasa ekonomi serta keupayaan komputer supernya. Sudah pasti keupayaan yang semakin ketara itu meresahkan Barat yang selama ini dominan dalam semua bidang.

0 comments:

Post a Comment