31 January 2012

Selepas memasukkan wang hasil perniagaan minyak sebanyak RM200,000 terus disamun oleh sekumpulan penjenayah bertopeng


NILAI: Perjalanan seorang pengusaha stesen minyak memasukkan wang hasil perniagaan RM200,000 bertukar detik menakutkan apabila menjadi mangsa langgar dan samun sekumpulan penjenayah bertopeng di Kilometer 287, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 40-an yang datang dari arah Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) sedang menuju ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor dengan memandu kereta BMW. Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, siasatan awal mendapati sejurus tiba di kawasan R&R Nilai, mangsa yang bersendirian dilanggar sebuah kereta Lexus dinaiki dua lelaki.

“Bagaimanapun mangsa tidak memberhentikan kenderaan dan meneruskan perjalanan sebelum sekali lagi dilanggar kereta suspek sama di lokasi kejadian.


“Berikutan keadaan itu, mangsa yang berhenti bergegas melarikan diri sejurus melihat kedua-dua suspek bertopeng datang meluru ke arahnya sambil membawa parang,” katanya, semalam.

Katanya, suspek mengambil wang berjumlah RM200,000 yang berada di dalam bonet belakang kereta mangsa.


“Tidak lama kemudian, sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki dua lagi suspek bertopeng turut berhenti berdekatan kereta mangsa.


“Keempat-empat suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an itu melarikan diri dan meninggalkan kereta Lexus berkenaan di tempat kejadian,” katanya.

Kata Mohd Yusoff, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya percaya kereta Lexus itu kenderaan curi dan nombor pendaftaran digunakan palsu.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 394/395 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Nilai di talian 06-7991222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati kedua-dua kereta mewah itu remuk teruk pada bahagian depan dan sebelah pemandu.

0 comments:

Post a Comment