BEIJING 29 Jan. – China patut mengenakan ‘sekatan’ ke atas Filipina kerana merancang untuk membenarkan lebih ramai askar Amerika Syarikat (AS) ditempatkan di negara itu.
Media rasmi Beijing membuat gesaan itu hari ini, ketika ketegangan makin meningkat antara kedua-dua negara berhubung kawasan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Manila kelmarin berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak latihan tentera bersama AS dan membenarkan lebih ramai askar AS ditempatkan di negara itu secara bergilir-gilir.
Tawaran itu disambut baik oleh Washington yang sememangnya sudah merancang untuk meluaskan kekuatan tenteranya di Asia.
China belum secara rasmi mengulas mengenai rancangan Filipina itu, yang diumumkan semasa cuti panjang Tahun Baru Cina.
Namun, lidah pengarang akhbar Global Times yang dikenali kerana pendirian nasionalisnya berkata, Beijing ‘mesti bertindak balas’ terhadap langkah Manila itu dengan menggunakan ‘pengaruhnya bagi memutuskan aktiviti ekonomi’ antara Filipina dengan negara lain di Asia Tenggara.
China juga perlu menimbangkan langkah untuk ‘menyejukkan’ hubungan perniagaan dengan Filipina, menurut lidah pengarang yang disiarkan dalam versi Mandarin dan Inggeris akhbar itu.
“Beijing patut menunjukkan kepada jiran-jiran China bahawa mengimbangi kekuatan China dengan memihak kepada AS bukanlah pilihan yang bijak,” menurut Global Times. - AFP
0 comments:
Post a Comment