9 January 2013

Mari Kita Kenali sejarah sambutan tahun baru Masihi

Perayaan patut perkukuh iltizam majukan diri, bangsa dan masyarakat

Seramai 13 pasangan ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam operasi cegah maksiat pada malam tahun baru. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula menahan beberapa orang Islam kerana meminum arak dalam pesta meraikan tahun baru, begitu juga penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah dan Negeri Sembilan juga dilaporkan melakukan operasi pencegahan jenayah syariah di lokasi tertentu dan pastinya berkaitan perayaan menyambut kedatangan tahun baru Masihi.

Itu belum pesta liar yang dianjurkan di pelbagai lokasi yang tidak dapat digapai oleh penguat kuasa jabatan berkuasa agama. Kini ia bukan saja membabitkan kelompok remaja atau muda mudi, tetapi turut disertai mereka yang lebih dewasa dengan pelbagai status, duda, janda, suami orang, isteri orang, datuk dan nenek.
Lalu timbul pertanyaan, apakah sebenarnya sambutan tahun baru? Apakah tujuannya? Apakah kesan dan manfaatnya terhadap pembinaan generasi dan bangsa? Ia dilihat sebagai satu ‘lesen’ untuk keluar malam lalu melakukan gelagat tidak bermoral tanpa segan silu lagi.

Sejarah tahun baru

Menelusuri sejarah tahun baru Masihi, ada banyak pandangan mengenainya. Ada yang berpendapat ia bermula dari zaman empayar Rom di bawah pemerintahan Maharaja Julius Caesar yang mahu merombak kalendar yang digunakan secara tradisional. Baginda mahukan ia berasaskan peredaran matahari. Baginda dibantu oleh seorang ahli astronomi Rom yang bermastautin di Iskandariah, Mesir.

Kebanyakan penganut Kristian berasal dari Eropah pula meraikan tahun baru bagi merayakan kelahiran Jesus. Jesus dianggap penyelamat, yakni yang menyelamatkan manusia daripada dosa warisan (inherited sins). Justeru, sambutan tahun baru adalah bagi memperingati permulaan perjuangan yang dianggap suci oleh penganut Kristian.

Malah, ada pelbagai cara meraikan kedatangan tahun baru Masihi seperti menaburkan bunga, berkumpul di dataran tertentu, menghadiahkan bunga kepada rakan dan seribu satu cara lagi. Kembali kepada persoalan tujuan, konsep dan kaedah meraikan tahun baru di Malaysia. Ia semakin teruk dicemari dengan pelakuan sumbang yang meruntuhkan pembentukan budaya bangsa yang beragama.

Mari kita bicarakan satu persatu. Jika melihat dari aspek agama kita dapati penganut Kristian sendiri merayakannya dengan sambutan di gereja bagi memperingati kelahiran Jesus. Sudah tentu ia berintikan menyanjung belas kasihan tuhan yang mengutuskan anaknya sendiri bagi menyelamatkan manusia.

Jika ditinjau dari sudut budaya, ia tidak mempunyai akar budaya yang kukuh. Jika sambutan Maal Hijrah yang bertemakan kedatangan tahun baru hijrah, masyarakat Malaysia khususnya Muslim diperingatkan mengenai peri pentingnya perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan akidah sahih. Begitu juga bangsa Tionghua yang meraikan Tahun Baru Cina dengan meraikan semangat kekeluargaan yang kukuh.

Perkukuh iltizam

Maka di manakah letaknya signifikan meraikan tahun baru ini. Mungkin ia perayaan negara yang seharusnya mengukuhkan iltizam memajukan diri, bangsa dan masyarakat. Jika inilah sebabnya, maka ia sepatutnya berintikan keinsafan terhadap pencapaian setahun yang berlalu dan membakar semangat untuk terus meluru laju ke hadapan bagi membina masa depan yang lebih gemilang. Masyarakat khususnya generasi muda mesti diperingatkan mengenai kepentingan melengkapkan diri dengan segala ilmu, kemahiran dan segenap kekuatan, memerah tenaga sebagai ejen perubah masyarakat.

Bukan mencari parti liar untuk dihadiri dan mencari pasangan untuk ditiduri. Pendek kata ia adalah malam untuk kita bersedia mempersiapkan diri memulakan langkah di tahun baru dengan penuh semangat perjuangan.

Pemimpin negara khususnya perlu menerangkan fokus dan hala tuju setahun akan datang agar kemajuan dapat dipacu dengan jayanya. Barulah rakyat dan masyarakat akan terarah ke arah yang sewajarnya.

Di manakah keberanian kita untuk berbeza dengan warga dunia? Mungkin ada yang membangkitkan kenapa kita harus berbeza, tetapi sebelum itu jawapan kepada kenapa kita perlu mengikut warga dunia, perlu hadir terlebih dulu. Adakah ia tidak dinamakan sambutan jika tanpa konsert atau tanpa dentuman bunga api atau tanpa parti liar atau ditukar kepada waktu siang yang dapat menghindarkan kita daripada pelbagai gejala sosial yang menjijikkan?

0 comments:

Post a Comment