14 January 2013

Penyanyi Rap temui ketenangan dengan Islam


TIDAK disangka dahulunya individu ini merupakan seorang penyanyi terkenal di Perancis. Bahkan dia pernah bergelumang dengan penyalahgunaan dadah.

Kini, dia tampil berbeza. Setelah memeluk agama Islam, dia memilih imej berhijab dan meninggalkan amalan negatif sepanjang bergelumang dalam industri hiburan.

Penyanyi wanita tersebut ialah Melanie Georgiades, 32, atau dikenali sebagai Diam yang memulakan karier sebagai artis sejak berumur 19 tahun.

Dia mengucap dua kalimah syahadah setelah seorang rakannya yang beragama Islam memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya.

Dalam kalangan para peminat, Diam yang sering dikaitkan dengan aktiviti pengambilan dadah dilihat menyepikan diri sejak empat tahun. Namun, dia muncul secara tiba-tiba dikhalayak umum dengan imej baru tahun lalu.

Tindakannya itu menimbulkan persoalan dan kontroversi. Tetapi dalam sebuah rancangan yang disiarkan di televisyen Perancis tahun lalu, Diam mengakui bahawa Islam telah memberikan ketenangan kepadanya bukan sahaja luaran tetapi juga dalaman berbanding sebelum ini.

Ujar wanita itu, dia sebelum itu merupakan individu yang tidak ada haluan di mana seluruh kehidupannya dilalui dengan mengambil dadah, berkhayal dan mengalami masalah mental.

Menceritakan babak permulaan beliau memeluk agama Islam, Diam berkata, dia diperkenalkan secara kebetulan kepada salah seorang rakannya yang beragama Islam.

“Saya memeluk Islam selepas melihat rakan menunaikan solat. Ketika itu saya memberitahunya bahawa saya juga ingin bersolat.

“Ketika bersujud, itulah kali pertama saya menyentuhkan dahi ke lantai dan perbuatan itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Tindakan tersebut menyebabkan saya mempercayai bahawa kita hanya perlu tunduk kepada Allah, bukan insan lain,” kata Diam.

Penyanyi rap itu berkata lagi, selepas mendengar bacaan al-Quran dan mendalami agama Islam menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk memeluk agama itu.

Sepanjang proses itu, beliau berpindah ke Mauritius untuk lebih memahami dan mendalami agama syumul itu.

“Dengan memeluk Islam, hidup saya lebih tenang dan saya tahu tujuan sebenar kita diciptakan,” kata Diam yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan kini bergelar ibu serta telah pulih sepenuhnya daripada masalah ketagihan dadah.

0 comments:

Post a Comment