PONTIAN – Mayat dua beradik ditemui dalam keadaan menyayat hati
apabila hanya tinggal cebisan tulang dan rangka selepas kedua-dua mereka
rentung dalam kebakaran melibatkan deretan sepuluh buah rumah kedai
separuh papan dua tingkat di Pekan Ayer Baloi di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan Khusnul Khotimah Selamat,
13, dan adiknya, Rohman, 12, maut selepas mereka dikatakan terperangkap
ketika sedang nyenyak tidur di tingkat dua premis tersebut.
Khusnul Khotimah merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah
Kebangsaan Ayer Baloi manakala Rohman murid tahun enam Sekolah
Kebangsaan Ayer Baloi.
Ibu bapa dua beradik itu, Selamat Kosnan, 51, dan Hasniah Abd.
Hussin, 50, serta empat adik-beradik mereka, Nor Fitri Yana, 18, Mohd.
Iskandar, 17, Mohd. Hanafi, 16, dan Mohd. Sohiban, 15, terselamat dalam
kejadian itu.
Turut maut ialah pemilik bengkel motosikal, Ng Kim Leong, 50-an yang
dipercayai terkena serangan jantung selepas terkejut melihat premisnya
terbakar. Mendiang juga menghidap asma.
Mayat dua beradik itu ditemui dua jam kemudian selepas bomba berjaya memadamkan kebakaran.
Ketika kejadian, hanya rumah keluarga berkenaan yang mempunyai
penghuni manakala sembilan lain hanya dibuka pada waktu siang seperti
kedai runcit, restoran, kedai telefon, pusat siber, bengkel motosikal
dan stor.
0 comments:
Post a Comment