JAKARTA - Sebuah mahkamah Indonesia semalam mendapati bekas pengurus perhubungan Citibank, Inong Malinda Dee, 49, bersalah melakukan pengubahan wang haram.
Dia memindahkan wang para pelanggannya ke dalam akaun miliknya untuk membeli beberapa buah kereta.
Sebuah mahkamah daerah di Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan denda 10 bilion rupiah (RM3.3 juta) terhadap Inong.
Pada perbicaraan wanita itu, pendakwa raya berkata, Inong mengarahkan 117 pemindahan dana dengan setiap satu berjumlah dua bilion rupiah (RM674,786) daripada akaun klien-kliennya kepada akaunnya atau akaun beberapa kenalannya antara tahun 2007 dan 2011.
Wang tersebut digunakan untuk membeli kereta Ferrari, Porsche, Mercedes dan Hummer selain beberapa buah rumah dan apartmen mewah.
Mahkamah sama semalam memerintahkan dua buah kereta Ferrari, sebuah Hummer dan sebuah trak pikap Toyota selain wang tunai berjumlah 1.6 bilion rupiah (RM676,056) dikembalikan kepada Citibank.
"Perbuatan defendan bercanggah dengan program pemerintah untuk membasmi pengubahan wang haram yang menjadi keutamaan penguatkuasaan undang-undang," kata Hakim Kusno semasa membaca keputusan kes di mahkamah berkenaan.
Inong yang memakai skaf dan kasut tinggi merah jambu, menitiskan air mata semasa dia dibawa keluar dari mahkamah berkenaan untuk menjalani hukumannya.
Citibank yang merupakan bank ketiga terbesar di Amerika Syarikat mengarahkan satu siasatan dalaman dilakukan selepas seorang pelanggannya mengesan dan melaporkan pemindahan wang dilakukan tanpa kebenarannya.
Inong ditangkap pada Mac tahun lalu. - Reuters
0 comments:
Post a Comment