SHAH ALAM 28 Jan. - Polis mengenal pasti dua kedai buku di Kota Bharu, Kelantan yang didapati menawarkan wang tunai untuk membeli Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pada harga lebih murah daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, satu kertas siasatan telah dibuka untuk mendakwa pemilik kedai buku tersebut selain turut memberi amaran akan mengambil tindakan sama ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan terdapat sepasang suami isteri turut melakukan kesalahan sama dengan menawarkan diri untuk membeli baucar berkenaan dengan kadar lebih murah daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Selain itu, kita juga sudah mengesan pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia (UM) yang mengiklankan BB1M dalam laman Internet untuk menjualnya dan mendapatkan wang tunai," katanyaselepas melancarkan majalah Auto Maskulin di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini hari ini.
Pada 26 Januari lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, pegawainya telah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung penyalahgunaan BB1M oleh pelajar yang layak menerima baucar tersebut.
Pemberian BB1M bernilai RM200 adalah salah satu insentif disediakan kerajaan untuk rakyat dan diberi kepada semua pelajar di Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik, IPT awam serta swasta yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2012.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.
Mengulas mengenai perkembangan kejadian letupan berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta dekat sini selepas perbicaraan liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari lalu, Khalid berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiga bom digunakan diperbuat daripada mercun.
"Polis masih menunggu laporan Jabatan Kimia dan siasatan terperinci serta menyeluruh sedang dilakukan.
"Kami turut melakukan soal siasat terhadap beberapa individu mengikut Akta Hasutan 1948 kerana dengan sengaja menimbulkan suasana boleh gugat keharmonian negara," katanya.
0 comments:
Post a Comment