PETALING JAYA 28 Jan. - Seramai 21 wanita warga Vietnam dan Indonesia yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dicekup dalam serbuan di sebuah pusat karaoke berhampiran Sunway Mentari, di sini malam tadi.
Serbuan pukul 8.30 malam itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan ekoran maklumat berhubung kegiatan premis tersebut yang mengupah wanita warga asing untuk bekerja sebagai GRO.
Katanya, hasil risikan dijalankan juga mengesyaki GRO itu bukan sahaja menemani pelanggan menyanyi malah turut bersedia memberi khidmat seks.
"Kesemua warga asing berusia antara 22 dan 34 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja secara haram di sini.
"Dalam serbuan tersebut, polis turut menahan tujuh lelaki dipercayai pelanggan dan dua pekerja pusat hiburan untuk tujuan soal siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua wanita terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah di sini untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengurus pusat hiburan dengan mengambil warga asing bekerja tanpa permit yang sah dan Akta 6(1)(c) akta sama kerana membenarkan pekerja warga asing terbabit dalam aktiviti pelacuran.
0 comments:
Post a Comment