28 January 2012

Terlalu gembira

KUALA KANGSAR: Seorang tauke kilang kicap tidak sempat merasai masakan ikan terubuk yang digemari apabila maut dengan kepala hampir pecah akibat digilis tayar lori.

Pengusaha kilang kicap jenama Bunga, Mohd Azmi Zakaria Zaidi, 67, maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah lori berhampiran simpang 3, RPA 4, Jalan Kuala Kangsar menuju ke Manong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari , mangsa dikatakan menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Ketior, di sini, selepas menyelesaikan urusan perniagaan di bandar Kuala Kangsar.

Isteri mangsa, Basariah Badarshah, 46, berkata, suaminya sempat memberitahu ingin ke bandar Kuala Kangsar bagi menjelaskan bil dan membeli surat khabar.

Menurutnya, suaminya sempat meninggalkan pesanan meminta dia memasakkan ikan terubuk untuk hidangan makan tengah hari apabila dia pulang dari bandar nanti.

“Sebaik suami keluar dari rumah, saya segera ke pekan Manong untuk membeli ikan terubuk dimintanya. Namun saya terkejut apabila dihubungi seorang anak saudara memberitahu kemalangan itu.

“Saya terus menuju ke lokasi kemalangan sebelum melihat suami terbaring bermandi darah. Keadaannya ketika itu sungguh mengerikan dan saya hanya mampu menangis,” katanya.

Basariah berkata, suaminya dipercayai digilis lori sebelum diseret beberapa meter selepas terjatuh.
“Dia sebelum ini menunjukkan sikap aneh apabila gemar bergurau dengan saya dan lima anak yang lain, sedangkan sebelum ini dia pendiam.

“Saya tidak pasti apa membuat dia terlalu gembira namun saya tidak menyangka gurauan itu adalah tanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd Faizal Othman, 30, berkata, dia pada mulanya tidak menyangka mangsa kemalangan yang terbaring di tepi jalan itu adalah bapa saudaranya.

“Saya ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Kangsar untuk membeli barang dan berhenti apabila melihat beberapa orang berkumpul menyaksikan kemalangan jalan raya.

“Saya hanya mengetahui bapa saudara saya menjadi mangsa apabila terlihat motosikal yang dirempuh lori berkenaan,”’ katanya.

Jurucakap bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar berkata, pemandu lori berkenaan yang berusia 40-an ditahan untuk diambil keterangan berhubung kemalangan itu.

0 comments:

Post a Comment