28 January 2012

Hak asasi bukan tiket wanita Islam tanding cantik

Muslimah perlu miliki sifat tawaduk, bukan bangga diri dengan rupa paras menawan

APABILA isu penyertaan wanita dalam pertandingan ratu cantik kembali memanggil khalayak untuk berdiskusi mengenainya, ia tidak lain seolah-olah berbicara mengenai musim durian, bunga yang lebat, buah menjadi dan bakal mengisi ruang pasaran buah-buahan di seluruh negara.

Ada yang menjadikannya tempoyak, lempuk, keropok dan tidak kurang juga suka makan durian yang segar dan baunya menerjah merata-rata. Apabila musimnya sudah sampai ke penghujung, tumpuan mula beralih kepada hal lain pula.

Begitulah juga pertandingan ratu cantik yang pernah menggegarkan negara lebih 10 tahun lalu apabila tiga peserta pertandingan ratu cantik ditangkap penguat kuasa agama. Namun, kes itu tidak mampu memberi pengajaran apabila dikaitkan dengan hak asasi termasuk pertandingan menyalahi hukum agama.

Mungkin kita lupa setiap perbuatan bertentangan dengan syarak dan menjadi fitnah kepada agama adalah jenayah terhadap agama yang dikelek. Hak asasi individu untuk bertanding akan berkubur apabila seseorang itu menafikan hak umat Islam, iaitu untuk memelihara kesucian agama dianuti.

Menteri berkenaan sekali lagi memberi peringatan wanita Islam diharamkan menyertai apa juga pertandingan ratu cantik.

Setiap wanita Islam dilarang menonjolkan aurat melainkan keadaan darurat, apatah lagi dalam keadaan yang mengundang ghairah atau berlumba-lumba untuk kelihatan cantik dan menawan.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga memutuskan demikian pada 1997. Mungkin orang awam tidak menyedarinya kerana kesedaran mengetahui fatwa agama terkini pada masa itu tidak begitu tinggi dan kurang disebarkan media.

Walaupun tidak difatwakan secara khusus, pertandingan ratu cantik yang menghendaki peserta membuka aurat serta dipertontonkan kepada umum untuk diadili adalah jelas haram dan berdosa.

Fatwa pengharaman oleh Majlis Fatwa Kebangsaan jelas menegaskan pertandingan ratu cantik bertentangan dengan agama Islam dan apa-apa jenis pertandingan serupa, walaupun bukan dinamakan pertandingan ratu cantik dilarang.

Walaupun begitu, larangan itu hanya bersifat nasihat kerana selagi fatwa tidak diwartakan di setiap negeri, undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan dan tiada pihak berhak menyekat aktiviti berkenaan daripada terus dianjurkan.

Perlu diingat, wanita Islam bukanlah alat pertandingan. Banyak perkara boleh dijadikan mainan, tetapi bukan wanita Muslimah. Wanita Islam perlu memiliki sifat tawaduk dan tidak membanggakan diri, apatah lagi menunjukkan kebatilan kepada orang lain.

Islam adalah agama yang dibangunkan atas paksi kemuliaan yang menolak kesombongan. Justeru, Islam menyeru umatnya sentiasa rendah hati dan tidak cintakan populariti.

Banyak cara untuk menonjolkan kecantikan dan keperawanan Muslimah sebenar. Tentulah ia berbeza dengan cara wanita bukan beragama Islam kerana perbezaan kepercayaan dan budaya.

Paras rupa setiap wanita Islam yang disucikan dengan kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk, sudah cukup mengagumkan setiap mata memandang. Amal salih mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya menjadikan wanita Islam istimewa dalam kelasnya tersendiri.

Itulah yang menjadikan wanita Muslimah dicintai Allah SWT dan disayangi setiap orang yang mengenalinya.

Hadis diriwayatkan Muslim: “Sesungguhnya jika Allah SWT mencintai seorang hamba, Dia memanggil malaikat Jibril seraya berfirman: Sesungguhnya Aku telah mencintai si fulan maka cintailah dia. Lalu Jibril mencintainya dan kemudian Jibril menyeru penghuni langit: Sesungguhnya Allah SWT mencintai si fulan maka cintailah dia. Lalu penduduk langit mencintainya. Kemudian ia disambut dan diterima penduduk bumi. Dan jika Allah SWT membenci seorang hamba, Dia memanggil malaikat Jibril seraya berfirman: Sesungguhnya Aku telah membenci si fulan, maka bencilah dia. Lalu Jibril membencinya, kemudian Jibril menyeru penghuni langit: Sesungguhnya Allah SWT telah membenci si fulan maka bencilah ia. Lalu penduduk langit membencinya, kemudian di dibenci penduduk bumi.”

Justeru, Muslimah perlu mengambil iktibar daripada setiap peringatan disampaikan Allah SWT melalui perantaraan sama ada yang disedari atau tidak.

Setiap larangan yang diseru melalui apa juga jalan dakwah secara langsung atau tidak langsung, melalui penguatkuasaan undang-undang ataupun tidak perlu dijadikan benteng kukuh supaya tidak runtuh, sekali gus membinasakan dinding akidah dan keimanan kepada Allah SWT.

Related Posts:

  • Duhai wanita!! Azab perempuan di nerakaMaka Rasullullah telah bersabda setelah pulangnya baginda dari Isra’ dan Mi’raj tentang perempuan yang dilihat menerima balasan perbuatan di dunia. Antaranya kejadian yang telah diperlihatkan oleh Allah swt kepada baginda … Read More
  • Taubat seorang wanita penzina Imam Muslim dalam Shahihnya, dan juga para penulis kitab sunnah telah meriwayatkan sebuah kisah taubat yang paling mengagumkan yang diketahui oleh manusia. Pada suatu hari Rasulullah duduk di dalam masjid, sementara par… Read More
  • Dilema wanita hari iniJangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walau ada segalanya. Apa yang tiada dalam syurga?  Namun adam tetap rindukan hawa. Dija… Read More
  • Takutnya Malam pertamaMalam pertama… Malam itu ialah Malam Pertama Di Alam Kubur Pernahkah engkau melihat kuburan? Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan? Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat? Pernahkah engkau membayangkan k… Read More
  • Kebangkitan yang menakutkanSuatu ketika, Muaz bin Jabal r. a menghadap Rasullullah s. a. w dan bertanya: “Wahai Rsullullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah s. a. w: “Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datamg berbaris-baris” -(… Read More

0 comments:

Post a Comment