17 January 2012

5 hari masih tak cukup

KUALA LUMPUR: Peniaga Uptown Danau Kota, di sini, mendakwa kebenaran untuk berniaga lima hari seminggu yang diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan keuntungan kerana rata-rata peniaga terbabit tiada pekerjaan selain berniaga di situ.
Setiausaha Persatuan Peniaga-Peniaga Uptown Danau Kota, Ahmad Fauzi Abdul Karim berkata, sehubungan itu mereka berharap DBKL mempertimbangkan untuk memberikan kebenaran berniaga enam hari seminggu iaitu termasuk pada Selasa selepas memberikan mereka kebenaran berniaga pada Khamis sebelum ini.

Menurut Ahmad Fauzi, peniaga berharap DBKL mengambil alih pengurusan bazar berkenaan daripada tiga penganjur yang didakwanya tidak dapat menjalankan pengurusan dengan baik sehingga mengabaikan nasib peniaga bazar itu.
Katanya, penganjur juga tidak membenarkan peniaga untuk menjadi ahli jawatankuasa bazar itu dan tindakan mereka menyebabkan suara peniaga tidak didengari dalam mesyuarat jawatankuasa penganjur sehingga semua keputusan dibuat tanpa persetujuan peniaga.

“Kami tiada masalah dengan penduduk dan kami berjanji akan membantu penduduk sekiranya ada penduduk yang tidak berpuas hati dengan masalah sampah disebabkan bazar ini dengan mengadakan gotong-royong.

“Peniaga juga tidak bersetuju sekiranya bazar ini disingkatkan waktu perniagaannya kerana ia akan membawa impak kepada keuntungan diperoleh dan berharap ada jalan penyelesaian terbaik diambil Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong serta DBKL,” katanya selepas program pendaftaran besar-besaran peniaga bazar berkenaan sebagai pengundi di Parlimen Wangsa Maju yang dianjurkan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), semalam.
Sementara itu, Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata pendaftaran itu bagi membolehkan peniaga di bazar itu menjadi pengundi di kawasan Parlimen berkenaan seterusnya menjadi penentu kepada kemenangan calon dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Katanya, Ikhlas juga memberikan tempoh seminggu kepada Wee untuk memberikan maklum balas berkenaan isu itu dan mahu ia diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi memastikan nasib peniaga terbela.
“Sebelum ini, kebanyakan peniaga adalah pengundi dari kawasan luar dan dengan penukaran alamat serta pendaftaran pengundi ini membolehkan mereka menjadi antara penentu kepada kemenangan calon dalam PRU ke-13,” katanya.

0 comments:

Post a Comment