BANGKOK - Pemimpin kumpulan 'Baju Merah'  yang didakwa atas tuduhan keganasan semasa protes antikerajaan pada  2010, merupakan antara muka baru yang dipilih menyertai Kabinet Thailand  dalam rombakan terbaru, yang mencetuskan kontroversi, semalam.
Rombakan itu turut mencetuskan kontroversi apabila seorang ahli  perniagaan wanita yang disenarai hitam daripada transaksi kewangan di  Amerika Syarikat (AS) turut dilantik menganggotai Kabinet.
Nattawut Saikua, seorang daripada pemimpin antikerajaan semasa protes  yang menyaksikan pusat bandar Bangkok lumpuh, dilantik sebagai Timbalan  Menteri Pertanian, sementara Nalinee Thaveesin dipilih sebagai Menteri  di Pejabat Perdana Menteri.
Nattawut merupakan seorang daripada penyokong setia bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Beliau menghadapi dakwaan keganasan yang masih belum disebut di  mahkamah melibatkan serangan bersenjata oleh penunjuk perasaan 'Baju  Merah' ke atas anggota keselamatan serta beberapa tuduhan senjaga  menyebabkan kebakaran semasa protes tersebut.
Pelantikan Nalinee juga mencetuskan kontroversi kerana akhbar  tempatan semalam melaporkan, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat  (AS) pada 2008 menamakannya sebagai kroni Presiden Zimbabwe, Robert  Mugabe, sekali gus melarang rakyat AS menjalankan urus niaga dengannya.
Lapor akhbar itu, sebarang aset AS juga tidak boleh diakses Nalinee  kerana beliau dilapor membantu menyalurkan transaksi berkaitan batu  permata, kewangan dan hartanah kepada isteri Mugabe serta individu lain  di Zimbabwe.
Nalinee sebelum ini menafikan dakwaan tersebut.
Perdana Menteri Yingluck Shinawatra itu turut menggugurkan 10 anggota  Kabinet, manakala enam lagi ditukar portfolio dalam langkah  memperkasakan barisan Kabinetnya berusia lima bulan itu.
Antara yang digugurkan ialah Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Polis  Kowit Wattana; Menteri Di Pejabat Perdana Menteri, Kritsana Srihalak;  Menteri Kewangan, Thirachai Phuvanatnaranubala; Menteri Perindustrian,  Warnnarat Charnnukul; dan Menteri Tenaga, Pichai Naripthapan. - AGENSI






 

 
 

 
 
 
 
 
 





0 comments:
Post a Comment