20 January 2012

Kempunan miliki kereta mewah

Kempunan miliki kereta mewah
GEORGETOWN - Hasrat seorang eksekutif kanan sebuah kilang di sini untuk memiliki sebuah kereta mewah tidak kesampaian apabila dia menjadi mangsa penipuan seorang jurujual sebuah syarikat jualan kenderaan terkemuka di Juru, dua tahun lalu.

Mangsa, R Thilagavathi, 42, bukan sahaja kerugian RM16,332 untuk wang pendahuluan kereta berkenaan, malah kehilangan kereta kesayangannya apabila ia turut dijual bagi menambah wang pendahuluan untuk mendapatkan kereta impiannya itu.

Thilagavathi berkata, dia mula berurusan dengan jurujual yang dikenali sebagai Ismail selepas diperkenalkan rakan sekerjanya yang turut membeli kereta sama di pusat jualan berkenaan.

Dia yang berasal dari pekan Teluk Kumbar berkata, proses pembelian kereta yang dibuatnya bermula Disember 2010 selepas diberi kesempatan memandu uji kereta berkenaan.

Menurutnya, selepas bersetuju untuk membeli kereta berkenaan, dia membayar pendahuluan RM1,000 sebagai deposit kepada Ismail.

“Selepas membayar deposit, Ismail tidak memberikan resit, sebaliknya saya hanya diberi slip salinan tempahan jual beli. Apabila saya bertanyakan mengenai resit, dia mendakwa slip tempahan itu sudah membuktikan bahawa saya telah bayar dan menempah kere­ta berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di Biro Aduan MCA di sini, semalam.

Menurutnya, dia juga bersetuju dengan cadangan Ismail untuk menjual kereta lamanya dengan harga RM5,000 de­ngan alasan mahu memudahkan pinjaman bank.

Katanya, dia juga menyerahkan urusan penjualan kereta itu kepada Ismail sebelum jurujual itu menyerahkan kenderaan berkenaan kepada seorang peniaga.

“Saya mula curiga apabila cek hasil jualan kereta itu tertulis nama Ismail bukan nama saya, namun jurujual itu mendakwa perkara itu tidak menjadi masalah kerana wang itu akan digunakan bagi kereta baharu yang ditempahnya,” katanya.

Thilagavathi berkata, sejak tarikh dia menempah kenderaan itu dengan wang pendahuluan RM1,000, Ismail memberikan pelbagai alasan atas kelewatan kenderaan itu yang menyebabkan dia terpaksa me­nunggu lebih lapan bulan.
Menurutnya, selepas menyerahkan lebih RM16,000 atas desakan Ismail untuk mempercepatkan pengeluaran kereta itu, akhirnya Ismail menyuruhnya membatalkan tempahan memandangkan kualiti kereta itu tidak baik dan mendapatkan pembayaran balik.

Bagaimanapun, Ismail mendakwa dia terpaksa me­nunggu tiga bulan untuk mendapatkan semula wangnya kembali.

“Saya mula menyedari ditipu oleh Ismail apabila beberapa panggilan dan mesej yang dihantar kepadanya tidak dijawab.

“Apabila saya menghubungi pejabatnya di Juru, alangkah terkejutnya apabila saya dimaklumkan Ismail telah berhenti kerja Ogos tahun lalu,” katanya.

Kecewa akibat tertipu dengan jurujual itu, Thilagavathi bertindak melaporkan perkara tersebut kepada polis dan Tribunal Tuntutan Pengguna bagi mendapatkan semula haknya sebagai pembeli.

Related Posts:

  • Polis dibelasah suspek berang Suspek dibawa oleh anggota polisTAMPIN – Hanya kerana mengarahkan suspek untuk menukarkan pakaian kepada pakaian lokap, seorang ­ anggota polis dekat sini dibelasah menggunakan sebuah… Read More
  • Suami lumpuh rentungPARIT: Seorang isteri hanya mampu menangis hiba apabila mendapati suaminya yang lumpuh ditemui rentung selepas rumah papan mereka musnah dijilat api pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Abdu… Read More
  • Duka di hari perkahwinanDUNGUN: Kegembiraan rombongan pengantin lelaki yang dalam perjalanan meraikan majlis perkahwinan bertukar duka apabila sebuah kereta yang berkonvoi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan… Read More
  • Dipenjara 10 tahun kerana merogol kanak-kanak Seorang pengawal keselamatan senyum bersahaja ketika diiringi polis keluar Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas dijatuhi hukuman 10 tahun penjara.KOTA BHARU – Seorang pengawal kes… Read More
  • 41 Pemandu Kenderaan Perdagangan Disaman Memandu Melebihi Had LajuKUALA LUMPUR: Empat puluh satu pemandu kenderaan perdagangan disaman kerana memandu melebihi had laju dalam operasi perangkap laju di Km457.8 Hentian Rehat Sungai Buloh (HRS), arah Selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan tengah … Read More

0 comments:

Post a Comment