20 January 2012

Bantuan MERCY dinanti

NORAZAM meluangkan masa untuk mengenali  seorang penerima bantuan makanan di Mogadishu, semalam.
NORAZAM meluangkan masa untuk mengenali seorang penerima bantuan makanan di Mogadishu, semalam.
Somalia kesal kejadian timpa jurugambar BERNAMA TV

MOGADISHU: “Alhamdulillah, Malaysia datang lagi,” itu ayat pertama terpacul dari mulut Mahmud Hassan Awale, 28, menyambut ketibaan sukarelawan Pasukan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) di Universiti Somalia, semalam. 
 
Sambil tersenyum lebar, pengarah pendaftaran Universiti Somalia yang pernah menetap di Malaysia selama tiga tahun sebelum kembali ke Mogadishu penghujung 2010, lantas memeluk penulis dan sukarelawan lain yang tiba di universiti itu, jam 11.30 pagi.
“Saya Mahmud, orang Kedah. Selamat datang ke Somalia,” katanya kepada sembilan sukarelawan Mercy Malaysia, diketuai Naib Presidennya, Norazam Ab Samah, yang berada di negara ini sejak minggu lalu bagi menjalankan misi kemanusiaan di Mogadishu.

Mahmud yang pernah belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, ternyata mengalu-alukan kedatangan sukarelawan Mercy Malaysia yang turut disertai empat petugas Media Prima Berhad (Media Prima) sebelum mempelawa sukarelawan menemui pegawai atasannya.

Naib Presiden Universiti Somalia, Prof Ali Araye mengakui beliau terkejut dengan kedatangan itu selepas insiden 2 September lalu menyaksikan sukarelawan Malaysia yang juga jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Noor terkorban kerana terkena peluru sesat ketika menjalankan misi kemanusiaan di Mogadishu.

“Kami gembira Mercy Malaysia di sini selepas apa berlaku. Kami mohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya.
Universiti Somalia yang juga universiti persendirian mempunyai lebih 2,000 pelajar, terletak di bulatan K4, lokasi jurukamera Malaysia itu ditembak pasukan pengaman Kesatuan Afrika (AU), AMISOM yang menyangkakan konvoi terbabit adalah puak penentang.

Prof Ali berkata, Somalia amat mengalu-alukan bantuan luar bagi membangunkan semula negara itu yang dibelenggu konflik kemanusiaan akibat kebuluran dan perang saudara sejak 20 tahun lalu.

“Kami cuba bangkit dari abu. Enam bulan kebelakangan ini, keadaan semakin baik,” katanya merujuk kepada pengunduran kumpulan Al Shabaab dari kawasan Mogadishu selepas pertempuran sengit dengan AU dan Kerajaan Persekutuan Sementara (FTG), awal Ogos lalu.

Sejak itu, Mogadishu dan beberapa kawasan yang sebelum ini dikuasai puak penentang diisytiharkan sebagai kawasan darurat dan kebuluran oleh FTG membolehkan bantuan kemanusiaan asing termasuk dari Malaysia, mula masuk.

Mercy Malaysia antara kumpulan NGO asing yang menghulurkan bantuan kepada lebih 370,000 pelarian IDP, yang kini mencari perlindungan di lebih 200 kem IDP sekitar Mogadishu, menjadikan kawasan itu semakin sesak.

Selain membuka klinik bergerak dan klinik statik serta mengedarkan bantuan makanan kepada 1,000 mangsa kebuluran dengan sokongan Yayasan Keamanan Global Perdana PGPF, Mercy Malaysia turut bekerjasama dengan Universiti Somalia mengadakan kempen penjagaan kebersihan di klinik statik yang baru dibuka di Tawfiq, Yaqsid, sejak Rabu lalu.

Program itu disertai enam penuntut Universiti Somalia, termasuk Shuhaib Abdullah, 28, penuntut jurusan perubatan yang menyifatkan program itu sebagai, `sesuatu yang mengujakan penduduk Somalia’.

Penduduk kampung, tua atau muda, ditunjukkan cara membasuh tangan yang betul bagi mengelakkan jangkitan penyakit seperti penyakit kulit, ruam, taun, cacar dan ciri birit yang berpunca dari masalah sanitasi dan kebersihan.

“Saya gembira, semua orang gembira. Terima kasih Malaysia,” kata ketua kampung Tawfiq, Hasan Abdi Rawi, menyambut usaha murni NGO Malaysia menghulurkan bantuan kepada mereka yang mula melihat sinar masa depan pasca pengunduran Al Shabaab, awal Ogos lalu.

0 comments:

Post a Comment