25 January 2012

Ekoran nasib Fifi, penduduk Kg Baru mula bimbang

Kampung Baru
KUALA LUMPUR - Insiden kanak-kanak berusia 10 tahun, Fifi Ramadhani Safruddin, yang dijadikan tawanan selama enam jam oleh seorang lelaki di rumahnya di Kampung Baru di sini kelmarin mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk kawasan tersebut.

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati, pintu rumah di sekitar kawasan Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Mahmud bertutup rapat ekoran insiden itu, yang menggemparkan banyak pihak.

Selain itu, ketika ditemu bual, rata-rata penduduk mengharapkan agar kawalan keselamatan di kawasan Kampung Baru dipertingkatkan.

Seorang peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Salawati berkata, kejadian seumpama itu tidak mustahil akan berlaku lagi pada masa akan datang.

Justeru, dia meminta agar jawatankuasa penduduk dapat membuat kawalan atau rondaan di kawasan sekitar Kampung Baru.

"Saya mempunyai anak perempuan. Saya takut kerana benda ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Penjahat sekarang tidak memilih orang.

“Jadi saya harap tingkatkan kawalan dan saya nasihatkan penduduk sentiasa menutup pintu. Saya juga meminta agar pihak polis turut membuat rondaan," katanya.

Selain itu, seorang peniaga kuih-muih, Rosinah Abu Samah, 47, berkata, dia turut mengharapkan agar kawalan keselamatan di kawasan itu dipertingkatkan walaupun ia agak sukar untuk dilakukan.

Katanya, Kampung Baru mempunyai banyak jalan keluar-masuk dan dia khuatir ia akan menyukarkan pihak yang menjaga keselamatan.

"Saya dah lama tinggal sini. Saya rasa kawalan keselamatan perlu ada. Tetapi di sini banyak jalan keluar, masuk.

"Pergi sana keluar Keramat, sana pula ke Ampang. Jadi saya harap mereka yang membuat kawalan pandai untuk mengawal keselamatan di sini. Yang penting saya juga harapkan agar penduduk akan sepakat menjaga kawasan masing-masing," katanya. 

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Hasnah Abu Bakar, 50, berkata, dia yang baru tiba dari Kedah terkejut dengan berita yang menimpa jirannya.

Dia turut dinasihatkan oleh anaknya agar sentiasa berhati-hati.

Bagaimanapun, Hasnah berkata, untuk membuat kawalan keselamatan di kawasan sekitar Kampung Baru adalah sukar. 

"Cuma saya harapkan agar penduduk sendiri perlu berhati-hati. Saya sendiri terkejut dengan kejadian yang terjadi semalam (kelmarin)," katanya.

Related Posts:

  • Seorang nelayan maut, 19 selamat dalam tragedi bot karam KUALA KEDAH - Seorang nelayan maut manakala 19 lagi terselamat setelah bot yang dinaiki karam akibat dipukul gelombang di kawasan berhampiran Pulau Songsong, kira-kira 20 batu nautika dari Kuala Kedah, awal pagi ini.Kesemua … Read More
  • Jurulatih sementara Kedah letak jawatan serta-merta ALOR SETAR - Jurulatih sementara Kedah Mohd Nidzam Adzha, yang menggantikan Wan Jamak Wan Hassan yang digantung tujuh perlawanan Liga Super, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta berikutan prestasi hambar pasukan ken… Read More
  • Israel: Amaran Anwar, 'jangan belit kenyataan saya' SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada pihak-pihak yang cuba memutar belit kenyataannya berkenaan Israel dalam satu wawancara bersama Wall Street Journal, kelmarin semata-mata mahu men… Read More
  • Kelantan kukuh cengkaman Liga Super KUALA LUMPUR - Kelantan terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan diikuti rapat dua pasukan, Terengganu dan Perakapabila masing-masing berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan malam tadi. Dengan kemena… Read More
  • Polis tahan 26 pelacur asing KUALA LUMPUR -  Dua puluh enam pelacur rakyat asing diberkas dalam serbuan polis di sebuah rumah teres tiga tingkat di Pandan Perdana, Ampang, di sini awal hari ini. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Ami… Read More

0 comments:

Post a Comment