15 January 2012

Amalan Merariq perlu diketahui dua keluarga

PIHAK berkuasa agama Indonesia tidak pernah bersekongkol untuk mengesahkan perkahwinan pasangan yang dilarikan dari Malaysia ke republik itu tanpa sebarang dokumen atau kebenaran sah daripada pihak berwajib di negara ini.
Penghulu Kantor Urusan Agama Ampenan, Kota Mataram, Drs Lalu Mukhalil berkata, setiap pengantin yang ingin mendaftarkan perkahwinan mereka masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara itu apatah lagi jika dilarikan dari negara luar.
Katanya, dalam konteks masyarakat Sasak di Lombok, peraturan sedia ada hanyalah disesuaikan dengan adat Merariq, iaitu melarikan pasangan dari rumah keluarga sebelum dimaklumkan bagi tujuan perbincangan seterusnya menetapkan tarikh perkahwinan.

“Kami tidak pernah meluluskan pernikahan dalam bentuk itu (culik tanpa pengesahan). Setiap pemuda Lombok harus mendapatkan kebenaran nikah daripada siapa saja termasuk waris pasangan daripada Malaysia kerana kita mahu mengelakkan kekeliruan berhubung status sah sesuatu perkahwinan. 

“Tidak ada istilah mudah di dalam perkahwinan. Perlu ikut peraturan kerana kita tidak mahu berlaku perpecahan dan perceraian pada masa akan datang hanya kerana gagal menguruskan setiap pernikahan dengan baik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Maratam, Lombok, baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai kaedah tertentu dipercayai digunakan pemuda Lombok untuk mendaftarkan perkahwinan dengan gadis Malaysia yang dilarikan ke pulau itu selepas tidak mendapat restu daripada keluarga sebelah isteri.

Katanya, dalam kaedah digunakan di Lombok, perkataan Merariq itu sendiri bermaksud meminta kebenaran untuk melarikan pasangan selain bersepakat untuk melangsungkan perkahwinan dengan tujuan yang baik bagi kedua-dua pihak.

“Itu yang dipraktikkan di sini sejak sekian lama kerana masyarakat khususnya kaum Sasak memang mengamalkan budaya menculik ini sebagai adat dan saya percaya, kes yang berlaku di Malaysia juga dilakukan oleh pemuda Sasak.

“Walau bagaimanapun, sebaik tiba di sini, mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri, perjalanan serta kebenaran nikah daripada negara terbabit. Jika tidak, kita tidak akan proses permohonan itu sebaliknya hanya akan berbuat demikian jika dimajukan bersama dokumen seperti diminta,” katanya.

Dalam kebanyakan kes di Lombok, katanya, mereka yang di bawah umur 21 tahun perlu mendapat keizinan daripada ibu bapa terlebih dulu sebelum melangsungkan perkahwinan dan jika pasangannya dari Malaysia, kebenaran daripada waris atau penjaga diperlukan.

Mukhalil berkata, dia tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang menjadi dalang di dalam mengeluarkan dokumen palsu bagi membolehkan pasangan mendaftarkan perkahwinan di pulau berkenaan seperti yang berlaku beberapa tahun dulu.

Waktu itu, katanya, kuasa untuk mengiktiraf status penduduk hanya diputuskan ketua kampung sebelum dibawa ke peringkat daerah bagi proses mengeluarkan surat akuan kepada individu terbabit.

“Mungkin ketika itu, mereka mudah mendapatkan kebenaran nikah daripada pihak berkuasa agama kerana mempunyai dokumen seperti dinyatakan, tapi kini, dengan adanya kad elektronik, mereka tidak dapat menipu lagi, sebaliknya perlu melalui prosedur sah,” katanya.

Ditanya mengenai adat Merariq mengikut hukum agama, beliau berkata, amalan masyarakat Sasaq itu sebenarnya tidak salah dari segi hukum kerana tiada unsur negatif, sebaliknya ia berlaku dalam keadaan keluarga saling mengetahui dan membenarkan anaknya diculik bagi tujuan perkahwinan.

Katanya, setakat ini, pihaknya hanya merekodkan satu kes membabitkan rakyat Malaysia dilarikan ke pulau berkenaan yang mempunyai masalah untuk mendaftarkan perkahwinan dengan pihak berkuasa agama, namun ia tidak dapat diproses kerana tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Saya nasihatkan kepada si suami supaya bawa pulang isterinya ke Malaysia dan uruskan segala-galanya di sana terlebih dulu. Kita tidak mahu mengambil mudah soal perkahwinan ini,” katanya.

Related Posts:

  • Berdepan empat pertuduhan TANGKAK – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.Tertuduh, Azharuddin Ahmad, 43, dari Bukit Katil, Melaka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana m… Read More
  • ‘Tahfiz’ auta HELAH... remaja mengutip derma sambil menjual produk herba yang diragui. Gambar kecil, surat yang dijaja untuk mengutip derma.   SASARAN... remaja dibawa menggunakan van ke stesen minyak untuk mengutip derma.&… Read More
  • 'Sudah lama jadi YB', Hadi tawar tak tanding MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan hasrat mahu berundur daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang. Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang … Read More
  • Israel: Amaran Anwar, 'jangan belit kenyataan saya' SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada pihak-pihak yang cuba memutar belit kenyataannya berkenaan Israel dalam satu wawancara bersama Wall Street Journal, kelmarin semata-mata mahu menye… Read More
  • Syiling 50 sen dalam perut anakIPOH: Sepasang suami isteri pucat lesi apabila anak kecil mereka yang berusia enam tahun menelan sekeping syiling 50 sen. Lebih membimbangkan apabila syiling itu didapati masih tersangkut di usus perutnya sejak lapan har… Read More

0 comments:

Post a Comment