18 February 2012

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man enggan mengulas pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUANTAN - Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man enggan mengulas mengenai pendirian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berganjak dalam isu pengiktirafan kepada Israel.

Menurutnya, Pas Pahang tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut sehingga pertemuan bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlangsung Isnin ini.

“Saya tidak mahu komen, tunggu sehingga pertemuan Mursyidul Am Pas berjumpa dengan Anwar selesai.

“Ia lebih sesuai jika Pas mendengar penjelasan mengenai sokongan tersebut terdahulu dan susulan­ boleh dikemukakan selepas itu,” katanya yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, ketika ditanya Sinar Harian berkaitan calon Muslimat Pas Pahang yang dijangka menjadi perhatian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang, beliau menjangkakan dapat terus mengekalkan sekurang-kurangnya seorang calon wanita.

Katanya, Pas Pahang sudah menyerahkan beberapa nama calon Muslimat yang mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan.

“Walaupun ada penambahan senarai nama yang dihantar, masih belum dapat dijangkakan lagi penambahan bilangan calon Muslimat yang berjaya diletakkan.

“Semuanya bergantung di peringkat pusat untuk menentukan. Namun saya yakin jika tidak ramai pun, cukup dengan seorang calon Muslimat berjaya diletakkan di sini,” katanya.

Sementara itu, bagi senarai nama calon muda pula lebih kurang 40 peratus berjaya disenaraikan.

“Pas Pahang mempunyai kira-kira 40 peratus calon muda yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin.

“Mereka bukan sahaja muda, malah mempunyai ciri-ciri kepimpinan, kelayakan akademik yang tinggi, berwibawa, stabil dalam ekonomi dan banyak lagi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment