23 February 2012

Terowong maut

KEPALA BATAS: Terowong ‘mini’ di Jalan Paya Keladi, dekat sini, hanya 10 meter panjangnya tetapi didakwa menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengguna terutamanya penunggang motosikal.

Kebanyakan kenderaan dari arah Paya Keladi yang melalui terowong berkenaan dikatakan tidak dapat melihat kenderaan yang keluar dari persimpangan Taman Bertam berikutan kedudukannya terlalu hampir dengan selekoh, sekali gus boleh mengundang kepada kemalangan.

Dalam kejadian baru-baru ini, seorang penunggang motosikal berusia 20-an dari arah Paya Keladi patah kaki kiri selepas merempuh Toyota Avanza yang tiba-tiba muncul dari arah Taman Bertam.

Seorang penduduk, Iswady Mohamad, 34, berkata, walaupun terdapat papan tanda bertulis ‘Awas, Simpang di Hadapan’, kenderaan dari arah Paya Keladi kerap kali tidak menduga kenderaan yang muncul secara tiba-tiba dari Taman Bertam.

Menurutnya, pemandu kenderaan dari arah Taman Bertam pula biasanya berhenti melepasi garisan putih untuk melihat kenderaan dari arah Paya Keladi kerana pandangan mereka terhalang dengan terowong berkenaan.

“Sudah banyak kali berlaku kemalangan selepas terowong terutama pada awal pagi ketika orang ramai keluar ke tempat kerja,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Amran, 35, berkata sudah tiba masanya terowong ‘mini’ berkenaan dinaik taraf atau dilebarkan selari dengan penambahan jumlah kenderaan menggunakan laluan berkenaan. Menurutnya, beribu kenderaan melalui Jalan Paya Keladi sehari untuk ke pusat bandar yang menjadi tumpuan kegiatan ekonomi dan pendidikan.

0 comments:

Post a Comment