Nahas kereta api di Argentina ragut 49 nyawa
BUENOS AIRES - Sekurang - kurangnya 49 maut manakala lebih 600 cedera termasuk warga emas dan kanak-kanak, kelmarin dalam nahas kereta api terburuk di Argentina dalam tempoh 40 tahun.

Kemalangan itu didakwa berlaku selepas kereta api yang sarat membawa penumpang tersebut merempuh dinding penghadang di Stesen Once di Buenos Aires.

Setiausaha sistem pengangkutan awam itu, JP Schiavi berkata, siasatan awal mendapati nahas menggemparkan tersebut mungkin berpunca daripada masalah brek.

Seorang penumpang dikenali sebagai Ezequiel menyatakan insiden itu berlaku terlalu pantas dan ramai penumpang cedera parah akibat terkena serpihan kaca dan logam.

Pasukan penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian cuba untuk mengeluarkan mangsa terperangkap dan angka kematian dijangka meningkat.

Beberapa pihak mula mempertikaikan sikap sambil lewa syarikat pengangkutan Trenes de Buenos Aires tersebut kerana didakwa gagal untuk membaiki struktur landasan kereta api usang di kebanyakan kawasan di negara itu yang dianggap sebagai faktor utama kemalangan boleh berlaku.

Dalam satu kejadian pada September lalu, seramai 11 orang terkorban selepas kereta api penumpang terbabas ke laluan bas lalu merempuh sebuah lagi kereta api di sebuah stesen di Buenos Aires.