SEBAHAGIAN pengunjung dan GRO sebuah kelab malam memberi kerjasama kepada polis ketika proses mengambil keterangan dilakukan. 
KUALA LUMPUR - Polis mendedahkan bahawa siasatan terhadap segelintir  pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan mendapati  wanita-wanita itu telah sewenang-wenangnya keluar masuk Malaysia  sehingga 10 kali walaupun pernah ditangkap atas kesalahan melacur.
Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian  (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, maklumat itu  diperoleh berdasarkan soal siasat terhadap GRO yang pernah ditahan  sebelum ini dan wanita-wanita yang ditahan dalam serbuan serentak di  tiga tempat sekitar ibu negara semalam.
Katanya, selain itu, antara cabaran dan kesukaran untuk mengekang  kegiatan GRO asing adalah kerana mereka datang ke negara ini atas  kapasiti sebagai pelancong.
"Saya akan mencadangkan kepada Jabatan Imigresen supaya membuat  saringan lebih ketat di pintu masuk negara ke atas mana-mana wanita yang  mempunyai rekod salah guna pas lawatan sosial dan bekerja sebagai GRO.
"Kita tidak boleh menyekat kemasukan pelancong, namun jika ada  saringan lebih ketat ia dapat mengurangkan kegiatan tidak bermoral itu,"  katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis yang menahan  104 GRO dalam serbuan serentak di tiga premis di Serdang, Jalan Pudu dan  Bukit Bintang di sekitar ibu negara kelmarin.
Kesemua GRO dari China, Thailand, Vietnam serta Uganda berusia di  antara 16 dan 35 tahun itu ditahan ketika sedang asyik melayan pelanggan  masing-masing di dua buah pusat hiburan dan sebuah restoran di tiga  lokasi itu.













0 comments:
Post a Comment