ANGGOTA bomba mengangkat mayat Muhammad Hasryzam yang ditemui lemas ketika mandi manda di Pantai Cherating, Kuantan semalam. 
KUANTAN - Sangkaan mandi di Pantai Cherating di sini lebih selamat  berbanding Teluk Chempedak yang dilanda ombak kuat nyata meleset apabila  seorang anggota polis dan anak tirinya ditemui mati lemas manakala  seorang lagi masih hilang.
Kejadian di antara pukul 4.45 dan 6.50 petang kelmarin menyebabkan  Lans Korporal Mohd. Asri Kamis, 28, yang bertugas di bahagian  pentadbiran Balai Polis Mentakab, Temerloh, dan anak tirinya, Muhammad  Hasryzam Hasri, 15, mati.
Mayat Mohd. Asri ditemui berhampiran kuala Sungai Cherating iaitu  kira-kira lima kilometer dari pantai tersebut pada pukul 6.50 petang.  Mayat Muhammad Hasryzam pula ditemui pada 3.10 petang semalam di muara  Sungai Baging kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia dilaporkan  hilang.
Adik Muhammad Hasryzam, Muhammad Hairulnizam, 13, yang dikhuatiri lemas dalam kejadian itu masih belum ditemui.
Isteri mangsa, Norsharulizam Osman, 32, berkata, mereka ke situ  selepas ajakan anak sulungnya untuk mandi di Teluk Chempedak ditolak  oleh suaminya atas alasan pantai itu bahaya.
Katanya, suaminya kemudian mencadangkan mereka ke Pantai Cherating kerana ia lebih selamat.
"Sebaik sampai, kedua-dua anak saya terus mandi dan berenang jauh  dari pantai. Saya risau sebelum meminta suami pergi mendapatkan mereka.
"Namun, selepas menunggu lama, suami dan anak-anak saya masih belum  kembali sebelum saya membawa dua anak perempuan saya, Siti Nurafzani  Hasri, 11, dan Nurul Nabila Natasya Mohd. Asri, 6, ke bilik mandi. Kami  seterusnya menunggu mereka berhampiran kereta pada pukul 5.30 petang,"  ceritanya.













0 comments:
Post a Comment