PETALING JAYA - Belum tahu puncanya, seorang lelaki cedera parah selepas dia disyaki terlibat dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan yang bersenjatakan parang, kapak, kayu dan topi keledar di Taman Desa Ria Fasa 5A, Taman Medan di sini semalam.
Difahamkan, kejadian pukul 8.30 pagi itu terjadi apabila berlaku perselisihan faham di antara dua kumpulan tersebut yang terdiri daripada 10 dan 20 orang penduduk di kawasan perumahan tersebut.
Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Salmah, 40-an memberitahu, ketika dia hendak pulang ke rumah di tingkat bawah pangsapuri lima tingkat itu, dia ternampak empat lelaki sedang bergaduh.
"Ketika itu saya baru selesai membantu jiran yang hendak membuat kenduri kahwin. Salah seorang mereka cedera parah akibat dikelar di dada.
"Tidak lama kemudian, datang lagi 10 lelaki dan terus bergaduh tetapi lelaki yang cedera parah itu melarikan diri ke blok berhampiran," ceritanya.
Tambahnya, pergaduhan itu bukan sahaja menyebabkan beberapa kereta penduduk rosak malah kusyen dan baju ahli keluarganya yang disidai di halaman rumah turut terkena darah.
Menurut Salmah, pergaduhan kecil sering berlaku di situ dan kejadian semalam merupakan yang paling buruk pernah terjadi.
0 comments:
Post a Comment