KOTA BHARU – Seorang pemuda yang dihukum jel pada Julai tahun lalu kerana memperdaya orang dengan menyamar dirinya sebagai Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, dijatuhi pula hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan memperdaya seorang doktor panel di klinik Penjara Pengkalan Chepa membabitkan wang tunai RM500.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly turut memerintahkan tertuduh, Wan Hazrul Anuar Wan Hussein, 29, dihukum empat sebatan dan denda RM5,000 dan sekiranya denda tersebut gagal dibayar, hukuman penjara setahun lagi menantinya.
Wan Hazrul yang beralamat di Taman Uda Murni di sini sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada tahun 2008 kerana menipu seorang ahli perniagaan dengan mempergunakan nama Datuk Khalid Mohd. Jiwa iaitu suami penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.
Selain mempergunakan nama individu ternama seperti Datuk Khalid dan Awang Adek, Wan Hazrul turut pernah didakwa di mahkamah kerana memperdaya orang dengan menyamar sebagai anak Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.
Wan Hazrul semalam mengaku bersalah telah memperdaya S. Navasilingan pada Ogos dua tahun lalu supaya menyerahkan duit berjumlah RM500 dengan tujuan untuk pembelian sebuah kereta jenis Mercedes Benz setelah mendakwa bapanya adalah seorang penjual kereta mewah sedangkan ia cuma rekaan dan tipu daya semata-mata.
Menurut fakta kes, pada Mac 2010, Navasilingan yang bertugas sebagai doktor panel, Jabatan Penjara Malaysia, Pengkalan Chepa. mengenali Wan Hazrul sebagai banduan prapembebasan yang ditugaskan sebagai pembantu di klinik Penjara.
Lanjutan daripada perkenalan itu, tertuduh kemudian menawarkan bantuan kepada mangsa untuk mendapatkan kereta jenis Mercedes Benz dengan mendakwa ayahnya merupakan jurujual kereta mewah.
0 comments:
Post a Comment