1 February 2012

Polis siasat penemuan kepala babi di masjid


KUALA LUMPUR 31 Jan. - Polis sedang menyiasat kes penemuan kepala babi yang ditinggalkan di hadapan tangga sebuah masjid di Kilometer 28.8, Rawang dekat sini awal pagi ini.

Siasatan itu akan diberi tumpuan kerana ia melibatkan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengesan pelaku jenayah tersebut.

Beliau yang ditemui pada majlis perasmian Kompleks Kesatria Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi turut mengesahkan penemuan kepala babi itu.

"Orang ramai diminta supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian ini dan kita akan siasat secara terperinci kes ini.

"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membinasakan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana tempat sembahyang," kata beliau.

Awal pagi ini, seorang siak di Masjid Nurul Iman di Rawang dekat sini terkejut apabila menemui kepala babi yang ditinggalkan di hadapan tangga masjid ketika tiba untuk menunaikan solat Subuh.

Nadzlan Ambak yang berusia lingkungan 50-an memberitahu, objek yang tidak dibungkus itu ditemuinya kira-kira pukul 5.15 pagi ini.

Menurutnya, ketika kejadian, seramai 40 jemaah sudah berada di masjid itu untuk menunaikan solat, namun dia terlebih dahulu membuka pintu masjid berusia 30 tahun itu.

Semasa menaiki tangga untuk menuju ke pintu, katanya, dia terkejut apabila menemui kepala babi berwarna merah di atas salah satu daripada alas kaki.

"Penemuan itu mengejutkan semua jemaah. Kepala babi itu diletakkan menghadap ke arah tangga.

"Setelah menunaikan solat Subuh, barulah kami membuat laporan polis dan pihak berkuasa tiba pada pukul 6.45 pagi untuk memulakan siasatan," katanya.

Tambahnya, kepala babi yang dipanggang itu dipercayai diletakkan oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap pentadbiran masjid.

"Sebelum ini terdapat pihak tidak berpuas hati dengan pentadbiran masjid berhubung beberapa isu termasuk projek ubah suai yang dilakukan.

"Beberapa surat layang memburukkan pentadbiran masjid telah dihantar pihak berkenaan dan kes tersebut kini disiasat Majlis Agama Islam Selangor," ujarnya.

Dalam pada itu, sumber polis memberitahu, siasatan terperinci sedang dilakukan ketika ini, namun tiada suspek dikenal pasti atau ditahan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyifatkan tindakan itu sebagai satu perbuatan keji.

Menurut beliau, pihak melakukan perbuatan itu tidak layak 'bergelar' warganegara Malaysia kerana tidak menghormati kesucian masjid sebagai rumah ibadat bagi umat Islam.

''Saya kesal dengan tindakan mereka ini. Kita tidak boleh berkompromi dengan gejala sebegini. Pihak yang melakukannya perlu diambil tindakan tegas dan dihukum. Mereka ini tidak layak duduk di Malaysia. Bagaimanapun, biar polis jalankan siasatan.

''Saya nasihatkan semua pihak bertenang kerana ini mungkin perbuatan sabotaj,'' katanya.

Related Posts:

  • Pak Imam baling kasut ke arah panel hakimSeorang Imam, Hoslan Hussin hari ini dipanggil ke Mahkamah Persekutuan untuk menjelaskan tindakannya membaling kasut ke arah panel hakim berkenaan dalam satu insiden bulan lalu. Hoslan, 46, berkata beliau telah menerima s… Read More
  • Ustaz lucah cium budak lelakiMelaka - Seorang guru tahfiz dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki di sebuah madrasah di Ayer Molek, lima tahun lalu. Ismail Ghazali, 44, dari M… Read More
  • 5 negara kos hidup paling murah di dunia Nombor 1 Paraguay - Negara paling murah di dunia dalam tinjaun Mercer adalah Paraguay , iaitu sebuah negara yang terletak di Amerika Selatan. Kadar sewa bulanan di pangsapuri di pusat bandar Paraguay hanya RM450 dan harg… Read More
  • Nak kahwin dengan warga asing tu cek dulu background dia Gambar Hiasan GEORGE TOWN — Biro Perkidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang menasihatkan orang ramai yang ingin berkahwin dengan warganegara asing supaya mengenal pasti latar belakang terlebih dahulu bagi mengelakkan is… Read More
  • Cabul : SKMM tak berani nak bertindakSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus dibidas kerana kegagalan menyiasat beberapa blog pro-Umno yang memfitnah Lim Guan Eng dengan menyiarkan laporan kononnya anak ketua menteri Pulau Pinang itu telah… Read More

0 comments:

Post a Comment