MUAR 31 Jan. – Seorang pekerja wanita sebuah restoran ditemui mati berlumuran darah di tepi jalan di Kilometer 1.6, Jalan Bakri di sini malam tadi.
Puteri Setiana Subari (gambar), 23, warga Indonesia yang bekerja di sebuah restoran di Jalan Joned di sini, ditemui masih bernyawa kira-kira pukul 11.50 malam sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas dibawa ke hospital.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat kejadian namun punca pembunuhannya belum dikenal pasti.
“Polis tidak menemui apa-apa senjata di tempat kejadian.
Kes ini masih disiasat dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, rakan mangsa, Nurhidayah Rai, 25, mendakwa, dia dan mangsa berjalan kaki dari tempat kerja untuk pulang ke rumah di Jalan Sakeh.
Namun, sebaik sahaja melalui Jalan Arab, seorang lagi rakan yang menaiki motosikal mempelawa untuk menghantar dia ke rumah menyebabkan Puteri Setiana terpaksa berjalan sendirian.
“Sebelum menaiki motosikal, saya sempat berpesan kepada dia untuk berjumpa di Jalan Parit Tiram tetapi hampir satu jam menunggu, dia tidak muncul. Saya cuba hubungi telefon bimbitnya, namun tiada jawapan dan sejam selepas itu dimaklumkan mengenai kematiannya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment