KAHERAH 3 Feb. – Aktor komedi terkenal Arab, Adel Imam, dijatuhi  hukuman penjara tiga bulan kerana menghina Islam dalam filem-filem serta  dramanya, menurut satu dokumen mahkamah, semalam.
Imam yang juga Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB),  dijatuhi hukuman tersebut tanpa kehadirannya selepas kesnya dikemukakan  Asran Mansour, seorang peguam yang mempunyai hubungan dengan parti-parti  Islam Mesir.
“Saya akan mengemukakan rayuan. Segelintir pihak yang mahu mencari  publisiti telah memfailkan dakwaan itu ke atas saya, kononnya menuduh  saya menghina Islam. Ia tidak benar sama sekali,” katanya.
Selebriti berusia 71 tahun yang digelar Charlie Chaplin dunia Arab  itu, sering berselisih dengan parti Islam yang menyifatkan filem serta  dramanya sebagai menghina Islam.
Dalam kes terbaru, Imam berkata, dia dikritik kerana membawakan watak  seorang fundamentalis Islam dalam filem Al-Irhabi (The Terrorist) pada  1994 serta drama Al-Zaeem (The Leader) yang mempersendakan pemimpin  autokrat rantau Arab.
“Semua hasil filem saya telah melalui proses tapisan. Jika ia  didapati boleh mendatangkan penghinaan, sudah tentu ia tidak boleh  ditayangkan,” katanya.
Sepanjang 40 tahun kariernya, Imam telah berlakon dalam lebih 100  filem termasuk filem The Yacoubian Building yang memenangi anugerah.
Selain hukuman penjara, Imam turut didenda sebanyak 1,000 pound Mesir (RM510). 













0 comments:
Post a Comment