KUALA LUMPUR 4 Feb. - Lapan daripada 10 kes rumah tangga yang dirujuk  di mahkamah untuk proses penceraian dikaitkan dengan gangguan emosi.
Perunding psikologi keluarga dan guaman syariah, Suzana Ghazali  berkata, berdasarkan kes-kes yang dirujuk itu, kebanyakan gangguan  mental sehingga membawa kepada penceraian berpunca daripada bebanan  terlampau ditanggung isteri yang terpaksa melayan suami dan anak-anak  selepas penat bekerja. 
Menurutnya, bebanan yang terlampau menyebabkan golongan isteri  berdepan dengan tekanan emosi yang tinggi yang kemudiannya menyebabkan  mereka menghadapi masalah mental.
"Ada juga kes-kes di mana pasangan lelaki menggunakan kekerasan  fizikal ke atas isteri sehingga mengheret mereka berdepan dengan masalah  psikologi," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan  12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan  pelbagai jenis penyakit mental.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu  Bakar berkata, statistik itu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan  seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental.
Tambah Suzana, gangguan emosi bukan hanya akan menyebabkan pesakit  itu menghadapi masalah sampingan seperti darah tinggi dan  penyakit-penyakit yang berkaitan, malah akan mengurangkan jangka hayat  mereka.
"Bagi mereka yang berdepan dengan masalah gangguan emosi peringkat  kronik, jangka hayat mereka adalah kurang daripada 40 tahun sementara  bagi mereka yang berada di tahap sederhana adalah di antara 40 hingga 50  tahun saja," jelasnya.













0 comments:
Post a Comment