14 February 2012

'Saya tembak untuk selamatkan diri'

KUALA TERENGGANU 14 Feb. - "Saya terpaksa melepaskan tembakan untuk menyelamatkan diri dan memberi isyarat kepada rakan saya di mana lokasi saya ketika itu".

Begitu penjelasan Konstabel Amran Yahya, 23, yang telinga kiri hampir putus digigit seorang suspek yang cuba melarikan diri semasa ditahan kelmarin.

Amran berkata, tembakan itu dilakukan secara spontan setelah suspek bertindak rakus dengan mencekik serta menggigit telinga kirinya sehingga hampir putus.

Katanya, akibat gigitan dan pergelutan itu, beliau yang bertugas di Unit Peronda MPV Balai Gong Badak menerima 10 jahitan dan luka di bahagian dada serta lengan.

"Saya tidak mampu buat apa-apa lagi ketika itu kerana kepala saya rasa pening dan hendak pitam semasa telinga saya digigit dan leher saya dicekik," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam, suspek yang berasal dari Batu Rakit dekat sini itu dikatakan membuat helah kononnya mahu muntah sebelum bertindak menolak anggota polis itu dan melarikan diri.
Bagaimanapun, mangsa berjaya menangkap suspek sebelum berlaku pergelutan di satu kawasan semak berhampiran.

Suspek kemudian bertindak mencekik leher anggota itu sebelum menggigit telinga kiri mangsa sehingga hampir putus dalam keadaan tangan yang bergari.

Pada masa yang sama, mangsa terpaksa mengeluarkan pistol lalu melepaskan dua das tembakan, satu daripadanya mengenai kaki kiri suspek.

Dalam pada itu, suspek turut dirawat di hospital yang sama dengan mangsa dan kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan menghalang tugas penjawat awam.

Suspek sebelum itu ditahan kerana cuba menipu di sebuah kedai serbaneka di Kampung Pok Jin, berhampiran Gong Badak di sini.

0 comments:

Post a Comment