5 February 2012

Anak dan bapa bersanding serentak

SUNGAI BULOH: Cuti umum sempena Maulidur Rasul, semalam, tidak hanya memberi makna besar kepada umat Islam tempatan apabila meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w, sebaliknya kegembiraan berganda kepada sebuah keluarga di Kampung Kubu Gajah, di sini.

Keluarga itu mengambil berkat tanggal 12 Rabiulawal untuk meraikan bukan sepasang pengantin baru, bahkan dua iaitu anak dan bapa yang disandingkan serentak di hadapan 1,000 jemputan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor.

Malah, tertera di kad undangan perkahwinan, tuan rumah diwakili Nur’ Aziyan Zainal Abidin, 33, yang juga anak sulung dalam keluarga itu mengundang tetamu ke majlis meraikan bapanya, Zainal Abidin Nordin, 60, yang naik pelamin bersama adik perempuan, Nur’ Rushda, 25.

Nur’ Aziyan ketika ditemui berkata, seluruh ahli keluarganya sangat gembira kerana majlis dirancang berlangsung meriah, malah dia tidak hanya mendapat ibu baru iaitu Noor Aliza Ahmad, 50, malah adik ipar, Mohd Firdaus Mohd Husin, 27, yang juga penjawat awam.

“Ayah (Zainal Abidin) bernikah dengan ibu (Noor Aliza) pada 5 Januari lalu, tetapi tiada majlis diadakan dan atas sebab itu kami sekeluarga merasa perlunya mereka dirai dalam majlis perkahwinan Nur’ Rushda yang dirancang pada hari ini (semalam).

“Kami adik-beradik seramai enam orang mahukan ayah berkahwin semula selepas ibu meninggal dunia pada Aidilfitri ketujuh tiga tahun lalu dan hari ini semuanya menjadi kenyataan, memang kami gembira.
“Ayah sudah ada orang yang boleh menjaganya dan kami percaya ibu tiri mampu menunaikan tanggungjawabnya dengan baik. Dia calon sesuai untuk ayah kami walaupun pertemuan mereka diatur Nur’ Rushda yang berkawan dengan anak ibu.

“Lagipun, kedua-duanya pun kematian pasangan pada Aidilfitri tahun sama. Jadi tiada halangan untuk hidup bersama,” katanya. Menceritakan bibit pertemuan itu, Nur’ Aziyan berkata, sebelum ayahnya berkenalan dengan Noor Aliza setahun lalu, mereka adik-beradik sepakat menguji ibu tirinya menggunakan pelbagai cara terutama menerusi masakan dan cara mengemas rumah.

“Ayah sangat cerewet, jadi kami menguji ibu dengan masakan dan cara dia mengemas rumah. Selepas mendapati dia sangat penyabar dan bijak melayani kehendak ayah membuatkan kami merasa dia calon paling sesuai, malah ayah terbuka hati untuk berkahwin lagi,” katanya.

Related Posts:

  • Dua beradik peluk kekasihKUALA LUMPUR: Gerak hati seorang ibu yang ingin melihat keadaan dua anak gadisnya sebaik terjaga daripada tidur kira-kira jam 3.30 pagi membawa kepada penemuan mengaibkan apabila dua beradik berusia 13 dan 15 tahun itu did… Read More
  • Gempar! Bayi Keluar Daripada LumpurMenurut sumber, bencana banjir besar yang berlaku di Bangladesh yang telah menenggelamkan seorang wanita hamil yang hampir melahirkan anak. Wanita tersebut telah dihanyutkan oleh banjir dan terkubur didalam tompokan lumpu… Read More
  • Gadis Hanyut Angkara Ibu Bapa Buta Agama   BATU PAHAT: “Sejak kecil saya tidak pernah diberikan didikan agama oleh keluarga, malah sejadah di rumah kami boleh dianggap barang hiasan saja,” kata seorang remaja dikenali sebagai Lisa, 19, yang kini menjad… Read More
  • Rumah Terbalik Pertama di Malaysia KOTA KINABALU: Seorang lelaki kelahiran Sabah membelanjakan setengah juta ringgit bagi membina rumah terbalik pertama di Malaysia yang menyampaikan mesej alam sekitar. Alexander Yee berkata, struktur rumah luar biasa y… Read More
  • Roboh ‘port’ maksiat & dadah KOTA BHARU- Dua bangsal yang di… Read More

0 comments:

Post a Comment