20 January 2012

Rayuan kes Saiful

Pejabat Peguam Negara sahkan notis difail jam 4.30 petang

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara semalam memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, empat tahun lalu.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Halilah Suboh mengesahkan notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini semalam, pada jam 4.30 petang.
Ketua Unit Rayuan, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara, Manoj Kurup yang dihubungi Berita Harian, petang semalam, mengesahkan beliau memfailkan notis rayuan itu. Difahamkan notis itu ditandatangani Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun.

Sementara itu, Pejabat Peguam Negara dalam kenyataannya berkata, notis rayuan difailkan berdasarkan keterangan dan undang-undang, tanpa mengikut emosi atau dipengaruhi mana-mana pihak.

Katanya, permohonan itu bagi membolehkannya memperoleh penghakiman bertulis dan rekod prosiding perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi seterusnya mengetahui dengan jelas alasan penuh keputusan hakim.

Pada 9 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya yang hanya mengambil masa kurang tiga minit, berkata mahkamah membebaskan Anwar selepas mendapati tiada bukti kukuh untuk menyokong keterangan Mohd Saiful, 27.
Beliau berkata, selepas meneliti keterangan saksi dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful, tidak terusik.

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak selamat untuk bergantung semata-mata kepada keterangan DNA, selain tiada keterangan lain untuk menyokong keterangan Mohd Saiful.

Mohamad Zabidin berkata, dalam kes jenayah seksual, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh dengan hanya bergantung kepada keterangan Mohd Saiful.

Anwar dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di PUTRAJAYA, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) petang semalam menyerahkan memorandum meminta Pejabat Peguam Negara membuat pertimbangan sewajarnya dengan memfailkan rayuan kes itu.

Yang Dipertua Kebangsaan JMM, Azwanddin Hamzah, berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail perlu bertindak memberikan keadilan kepada Mohd Saiful sebagai rakyat Malaysia yang layak menggunakan saluran perundangan bagi mendapatkan keadilan untuknya.

Sementara itu, Mohd Saiful menerima baik keputusan Peguam Negara memfailkan notis berkenaan bagi membolehkan kesnya dirayu.

Dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan dalam laman blog peribadinya di http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com, Mohd Saiful berkata rayuan itu membolehkannya mendapat hak dan keadilan sehingga ke peringkat perundangan tertinggi.

“Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan kepada saya supaya hak saya sebagai warga negara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana.

“Saya akan terus berdoa, istiqamah, sabar dan hanya kepada Allah saya berserah,” katanya.

0 comments:

Post a Comment