26 January 2012

Kematian akibat serangan jantung semakin berkurang

LONDON 26 Jan. – Satu kajian mendapati, kematian akibat serangan jantung telah menurun dalam tempoh kurang dari 10 tahun.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan ahli-ahli akademik Jabatan Kesihatan Umum Universiti Oxford, penurunan dramatik itu disebabkan masyarakat kini kurang merokok dan mengamalkan diet yang sihat selain mempunyai sistem rawatan terbaik di hospital.

Kematian akibat serangan jantung antara 2002 dan 2010 menurun sebanyak 50 peratus bagi golongan lelaki manakala 53 peratus bagi wanita.

Sehubungan itu, kumpulan penyelidik ingin mengkaji sama ada penurunan tersebut disebabkan amalan diet yang sihat atau dipengaruhi sistem rawatan yang semakin canggih.

Analisis data dilakukan terhadap 840,000 pesakit yang dimasukkan ke hospital di England kerana mengalami serangan jantung atau meninggal dunia akibatnya.

Laporan yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British itu mendapati, cara hidup dan rawatan perubatan memainkan peranan yang hampir sama dalam membendung kematian akibat penyakit tersebut.

Jumlah individu yang menghidap sakit jantung turut menurun dengan 33 peratus untuk lelaki manakala 31 peratus bagi wanita.

Secara keseluruhannya, 61 peratus serangan jantung melibatkan golongan lelaki manakala 73 peratus yang lain berlaku ke atas mereka yang berusia 65 tahun ke atas, sementara 36 peratus dari serangan itu menyebabkan kematian.

Seorang daripada penulis laporan tersebut, Profesor Michael Goldacre berkata, kematian akibat serangan jantung telah menurun sejak 1970 dan sebabnya jelas.

“Masyarakat semakin kurang merokok, makan makanan yang sihat dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Ia membantu mengurangkan kematian akibat penyakit tersebut,” katanya. – AGENSI

0 comments:

Post a Comment