19 January 2012

Dijel kerana tikam teman wanita


AZWAN dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka semalam selepas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.


MELAKA – Kemarahan seorang penarik kereta yang menikam kekasihnya yang mahu memutuskan hubungan cinta berakhir dengan lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Azwan Azmin, 23, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Norzila Alismadi, 22, menggunakan sebilah pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang restoran McDonald’s Melaka Mall bersebelahan bangunan Melaka Mall pada 5 Januari lalu pada pukul 10 malam.

Azwan yang belum berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. 

Terdahulu peguam tertuduh, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dalam rayuan memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan semasa kejadian tertuduh tidak matang dan waras kerana terlalu marah.

“Pengakuan salah tertuduh pada sebutan pertama kes hari ini (semalam) juga menjimatkan masa mahkamah apabila mahkamah tidak perlu mendengar perbicaraan penuh kes,” kata Sheikh Ikhzan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin mahu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh.

Menurut Ifa, sebelum berjumpa mangsa, tertuduh membawa pisau yang dilihat persediaan untuk mencederakan mangsa.

“Doktor yang merawat mangsa mengesahkan kecederaan dialami selepas ditikam di rusuk kiri adalah satu kecederaan serius yang boleh membawa maut.

“Akibat tikaman itu mangsa kehilangan banyak darah,” kata Ifa.

0 comments:

Post a Comment