18 February 2012

Terus tak bernyawa ibu dan ayah setelah tercampak di luar kenderaan

Gambar Hiasan

DUNGUN: “Adik (Tengku Nor Azira) beritahu dia dan keluarga kemalangan. Saya ingat kemalangan kecil tetapi sebaik sampai di tempat kejadian, saya dapati ibu dan ayah tercampak di luar kenderaan dan tidak bernyawa,” kata Tengku Muhammad Atman Tengku Shafuddin, 23, selepas ibu bapa dan seorang adiknya maut nahas di Kilometer 21.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, semalam.

Menurutnya, ahli keluarganya bertolak dari rumah di Kampung Syukur, Pasir Raja, Hulu Dungun jam 10 pagi untuk menghadiri kenduri perkahwinan saudara mereka di Kampung Gong Pasir, di sini, dan dia tidak mengikut sama kerana kereta penuh.

“Ayah dan ibu memberitahu mahu ke kenduri dan pulang lewat kerana selepas menghadiri kenduri, ayah bercadang ke kedai membuat cermin mata untuk Tengku Amir Haziz dan meminta saya menjaga rumah,” katanya yang juga anak sulung daripada empat beradik.

Katanya, selepas sejam ahli keluarganya bertolak, dia menerima panggilan telefon daripada adiknya, Nor Azira yang memaklumkan mereka mengalami kemalangan, menyebabkan dia bersama beberapa rakan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, ayah dan ibunya tidak menunjukkan perubahan pelik tetapi pada pagi kejadian sebelum bertolak ke kenduri, ayahnya sempat membersihkan halaman rumah.

“Ayah membersihkan halaman rumah dan menebang sebatang pokok rambutan kerana sudah tua. Cuma ketika menebang pokok itu, saya nampak ayah banyak termenung,” katanya.

Sementara itu, pemandu sebuah Proton Wira lain yang terbabit dalam kemalangan, Mohd Adli Rashid Abdullah, 36, berkata dia sempat mengelak sebaik mendapati kereta mangsa berpusing ke arahnya selepas bertembung dengan lori itu.

“Saya memusing stereng dengan sekuat hari sebelum kereta saya melanggar sebatang tiang lampu di tepi jalan itu dan tersadai di dalam parit,” katanya.

Mohd Adli berkata, dia menggigil ketakutan selepas melihat kedua-dua mangsa tercampak ke jalan raya dalam keadaan mengerikan sebelum menyelamatkan isterinya, Haslinda Mohamad, 35, dan dua anaknya masing-masing berusia empat dan sembilan tahun.

0 comments:

Post a Comment