14 February 2012

Suami selamatkan isteri dengan menyerahkan barang kemas bernilai RM30K

GOMBAK: Bimbang isterinya dibunuh, seorang lelaki menyerahkan barangan kemas bernilai RM30,000 yang disimpan dalam peti simpanan khas selepas rumah mereka di Batu Caves diceroboh lima lelaki dipercayai warga Indonesia, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, pasangan berusia 50-an itu yang tidur nyenyak terkejut selepas bilik tidur mereka dipecah masuk suspek bersenjatakan parang.

Menurut sumber, terkejut dengan kehadiran lelaki bertopeng itu, mangsa berdiam diri sambil menenangkan isterinya yang menggigil ketakutan sebelum suspek menyuruh mereka jangan melawan jika tidak mahu dicederakan.'

“Mangsa yang ketakutan merayu dilepaskan dan memberitahu tiada barangan berharga di dalam rumah, namun suspek enggan mempercayainya sebelum mengacukan parang ke arah isteri mangsa dan mengugut membunuhnya jika enggan menyerahkan barangan berharga.

“Bimbang dengan keselamatan isterinya, mangsa menunjukkan peti keselamatan mengandungi barangan kemas yang disembunyikan di dalam almari,” katanya.

Sumber berkata, suspek mengarahkan mangsa mengambil peti itu, malah turut menendangnya supaya cepat menyebabkan mangsa terjatuh dan luka di lutut.

“Sebaik mendapatkan barangan kemas itu, suspek melarikan diri meninggalkan mangsa.

“Yakin diri mereka selamat, mangsa datang ke Balai Polis Selayang untuk membuat laporan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

0 comments:

Post a Comment