16 February 2012

Anak hampir tertelan skru besi dalam roti

PULAU PINANG 15 Feb. - Bapa seorang pelajar di sebuah sekolah menengah asrama penuh di sini mendakwa anaknya hampir tertelan sebatang skru besi ketika menikmati roti ban yang diedarkan sekolah berkenaan.

Anuar Abu Kassim, 49, berkata, kejadian berlaku pada 11 Februari lalu ketika sekolah itu mengadakan aktiviti merentas desa dan semua pelajar diberikan roti ban berkenaan sebelum acara bermula.

Menurut beliau, anaknya Nurul Ain telah memberitahu guru sekolah mengenai penemuan skru besi dalam roti itu.
"Sebagai seorang bapa, saya amat dukacita kerana kejadian ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa anak saya.
"Saya bukan mahu meminta sebarang ganti rugi, namun sebagai seorang pengguna saya memandang serius pekara ini kerana ia melibatkan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan pengguna," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Anuar, dia telah dihubungi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dua hari lalu mengenai kedatangan wakil syarikat pengeluar roti tempatan ke sekolah berkenaan.

"Wakil syarikat terbabit dikatakan tidak mahu perkara ini diperbesarkan dan telah mengambil roti dan skru tersebut untuk tujuan penyelidikan. Keputusan penyelidikannya hanya dimaklumkan kepada pihak sekolah pada 20 Februari ini," katanya. 

Beliau turut mempertikaikan tindakan sekolah yang tidak memaklumkan pertemuan tersebut dengannya.
Anuar berkata, dia berharap agar insiden seperti itu tidak berlaku pada masa hadapan dan berharap pengeluar roti berkenaan lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, Nurul Ain memberitahu, ketika menikmati roti berperisa coklat itu, dia tergigit benda keras.
"Apabila diteliti saya mendapatinya ia sebatang skru. Saya bernasib baik tidak menelan skru itu kerana jika tertelan saya tidak tahu apa yang akan terjadi," katanya.

0 comments:

Post a Comment